MALAYSIA

Perhimpunan di Istana Negeri Kubang Kerian bertujuan serah barangan lama - Polis

Bernama 13/11/2025 | 10:29 MYT
13 individu berkenaan telah direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes itu. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan polis mendapati 13 individu termasuk seorang wanita yang berhimpun di luar Istana Negeri, Kubang Kerian, secara haram pada Selasa lepas adalah bagi menyerahkan beberapa barangan lama kepada pihak istana.


Ringkasan AI
  • 13 individu termasuk seorang wanita berhimpun di luar Istana Negeri, Kubang Kerian secara haram bagi menyerahkan barangan lama kepada pihak istana menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
  • Hasil ujian saringan air kencing menunjukkan lima daripada individu tersebut positif dadah; kes disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
  • Kesemua individu berusia lingkungan 26 hingga 67 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi siasatan lanjut; mereka telah direman selama empat hari bermula semalam.


Beliau berkata maklumat mengenai kehadiran kumpulan itu diterima pada 11.40 pagi selepas Balai Polis Kubang Kerian memaklumkan mengenai perhimpunan tersebut.

Mohd Yusoff berkata kesemua individu yang berusia lingkungan 26 hingga 67 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi membantu siasatan.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lima daripada mereka positif dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, dan siasatan lanjut masih diteruskan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan 13 individu berkenaan telah direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes itu.

-- BERNAMA






#perhimpunan haram #Istana Negeri Kubang Kerian #Polis Kelantan #barangan lama