MALAYSIA

Perhimpunan GARAH tidak dibenarkan atas faktor keselamatan awam - Polis

Afiezy Azaman 07/02/2026 | 02:00 MYT
Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan berlangsung di kompleks membeli-belah Sogo pada malam ini berikutan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan risiko berlakunya gangguan ketenteraman.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pihak polis menerima surat pemakluman daripada penganjur pada 3 Februari lepas mengenai hasrat untuk mengadakan perhimpunan aman itu pada pukul 8.00 malam, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata polis telah menjalankan risikan keselamatan serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan termasuk pemilik premis sekitar lokasi berkenaan, selain mengadakan perbincangan bersama penganjur pada 5 Februari lalu.

Bagaimanapun, pada 6 Februari, polis menerima surat bantahan daripada pengurusan Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons dan premis sekitar yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang dijangka berada di kawasan tersebut sempena musim perayaan.

"Polis turut menerima maklumat bebas yang menunjukkan kemungkinan berlakunya pecah keamanan serta ancaman keselamatan kepada orang ramai ekoran jangkaan kehadiran ramai pengunjung di kawasan berkenaan.

“Setelah membuat pertimbangan dan risikan keselamatan, pihak polis menjangkakan perhimpunan ini boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang awam, justeru keputusan dibuat untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada, Sabtu.

Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.

Beliau menegaskan polis akan terus memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam sentiasa diutamakan di kawasan tersebut.






#Fadil Marsus #GARAH #perhimpunan #Sogo