Perhimpunan solidariti Muhyiddin: Penganjur, penyokong akan dipanggil - Polis

Bernama
Mac 11, 2023 07:40 MYT
Penganjur dan penyokong perhimpunan solidariti untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin di pekarangan Ibu Pejabat SPRM akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan. -Twitter Bernama
KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti penganjur dan beberapa individu yang menganjurkan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Khamis lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kesemua mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.
Beliau berkata polis juga telah membuka kertas siasatan kes berkenaan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.
"Siasatan kes berkenaan sedang dijalankan dan kami akan panggil mereka yang terlibat untuk diambil keterangan kes ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Town Hall Discussion sempena Hari Polis ke-216 di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, Muhyiddin dipanggil ke SPRM Putrajaya untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan.
Pada hari yang sama, beliau ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Semalam, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
-- BERNAMA
#Perhimpunan solidariti Muhyiddin #Jana Wibawa #SPRM #Azmi Abu Kassim