Sebuah badan gabungan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan perhimpunan rakyat pada Sabtu ini bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menyelesaikan krisis kepimpinan di negeri itu.

Perhimpunan rakyat yang diberi nama 'Menjunjung Kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor' itu akan diadakan selama dua jam mulai 3 petang di Padang Sultan Sulaiman (Padang Kota Raja), Klang, dan segenap lapisan rakyat diminta menyatakan sokongan mereka dengan menghadiri acara itu.

Antara NGO yang menyertai gabungan itu yang digelar Angkatan Rakyat Sedar (Aras) ialah Gerak Arus Rakyat Bawahan Selangor, Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb), Persatuan Anak Seni Tanjong Karang, Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen.

Pengerusi Aras, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata perhimpunan itu bertujuan mengucapkan kesyukuran dan terima kasih rakyat Selangor atas kebijaksanaan baginda menangani isu semasa di negeri itu.

"Ia juga diadakan bagi memberitahu Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa majoriti rakyat Selangor sangat berpuas hati dengan cara pentadbiran yang dipraktikkan oleh beliau dan memohon supaya diteruskan budaya ini selagi mana dikehendaki Sultan Selangor," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Abdul Rahim berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 2,000 rakyat Selangor pada majlis yang akan diisi dengan program seperti pertunjukan kebudayaan, pentomin yang mengisahkan situasi yang berlaku di negeri itu ketika ini dan pidato.

Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Wilayah Persekutuan, Nasiruddin Mohamad pula meminta agar rakan-rakan seperjuangannya dalam pasukan keselamatan itu turut menyertai perhimpunan berkenaan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor.

"Kita berharap rakan-rakan bersama-sama mendaulatkan Selangor yang mana kita mempunyai sultan yang sedang menangani masalah serta isu dalam kerajaan negeri," katanya.

Pada Selasa lepas, Sultan Selangor menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Baginda turut menitahkan pemimpin Pakatan Rakyat - PAS, PKR dan DAP - supaya mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti sebagai calon menteri besar bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan, seterusnya memberi perkenan melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, PKR dan DAP berkata mereka tetap akan mencadangkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal.