Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan mengatasi arahan yang dikeluarkan oleh majikan untuk memaksa pekerja datang bekerja sepanjang tempoh 18 hingga 31 Mac ini.

Menurut Peguam, Yusfarizal Yussoff, sebarang perjanjian atau perikatan kotrak antara majikan dan pekerja adalah tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pertama perintah kawalan pergerakan yang dibuat kerajaan ini yang mana ia boleh mengatasi beberapa undang-undang lain dan boleh mengatasi sebarang bentuk perjanjian antara majikan dan pekerja.

“Jadi kalau sebelum ini majikan dan pekerja diikat oleh kontrak perjanjian antara mereka yang mana mereka bersetuju dengan sesetengah perkara, tetapi apabila ada Perintah Kawalan Pergerakan ini maka mereka sekarang ini tertakluk kepada perintah,” katanya.


PEKERJA TIDAK BOLEH ANGGAP PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN SEBAGAI CUTI

Bagaimanapun, kata Yusfarizal, pekerja tidak boleh menganggap tempoh 18 hingga 31 Mac ini sebagai bercuti sekiranya kerja di pejabat boleh dilakukan di rumah.

Ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan hanya tidak membolehkan pekerja berada di pejabat sahaja, namun ia tertakluk kepada jenis pekerjaan yang boleh dijalankan di rumah.

“Jadi dalam keadaan sekiranya majikan atau syarikat yang terbabit adalah syarikat yang tidak terlibat dalam pengecualian ataupun syarikat yang bukan digolongkan dalam perkhidmatan penting, maka syarikat itu perlu ditutup pejabat tidak boleh dibuka dan majikan sama sekali tidak boleh memaksa pekerja-pekerja mereka untuk terus bekerja di pejabat secara fizikal.

“Di sini kita perlu tekankan secara fizikal, maksudnya pekerja tidak boleh berada di pejabat, tetapi ada dua kemungkinan.

"Pertama sekiranya perkhidmatan pekerja yang terbabit boleh dilakukan dari rumah secara dalam talian dan komunikasi maya, maka pekerja tersebut masih perlu melakukan kerja mengikut arahan majikan kerana kita tidak boleh menganggap sebagai cuti.

"Ini adalah satu peringkat atau satu jangka masa yang mana pekerja tidak boleh berada secara fizikal di pejabat kerana Perintah Kawalan Pergerakan," kata Yusfarizal.



SALURAN PEKERJA MEMBUAT LAPORAN JIKA MAJIKAN PAKSA HADIR BEKERJA

Terdapat beberapa saluran yang boleh dilakukan oleh pekerja sekiranya majikan memaksa untuk hadir bekerja walaupun berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

Kata Yusfarizal, pekerja boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kerja 1952.

“Di bawah Akta Kerja 1952, beberapa tindakan juga boleh diambil pekerja sekiranya dipaksa oleh majikan untuk datang bekerja, mereka boleh membuat laporan di pejabat tenaga kerja.

“Di bawah Akta Kerja, mereka boleh membuat laporan bahawa majikan mereka tidak mahu ikut Perintah Kawalan Pergerakan, itu kesan-kesan sekiranya majikan tidak mematuhi peraturan tersebut,” jelasnya lagi.


PEKERJA KONTRAK JANGAN TAKUT LAPOR JIKA MAJIKAN INGKAR ARAHAN KERAJAAN

Sekiranya majikan mengambil tindakan dengan menamatkan kontrak pekerja selepas laporan dibuat pekerja kerana majikan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan.

Yusfarizal berkata ini adalah penamatan secara konstruktif dan jika bukti yang dikumpul cukup, ini membolehkan majikan berdepan tindakan kerana menamatkan kontrak disebabkan ingkar arahan kerajaan.

“Inilah yang kita panggil satu keadaan yang tersepit oleh pekerja kerana mereka ada kontrak bukan pekerja tetap kontrak enam bulan setahun dan sebagainya.

"Jadi sekiranya mereka ingin mengambil tindakan dengan membuat laporan polis, sudah tentu ada kesan reaktif daripada majikan yang mungkin akan menamatkan kontrak dan tidak memperbaharui kontrak.

“Saya kira dalam keadaan ini pekerja perlu mengambil satu sikap yang berani, mungkin kebanyakan masalah boleh diselesaikan dengan rundingan.

"Mungkin pekerja sebelum membuat apa-apa laporan polis atau jabatan tenaga kerja, perlu membuat rundingan.

"Di sini penting ada kelompok pekerja yang mana kalau besar kita panggil trade union, skala lebih kecil kita panggil kumpulan-kumpulan pekerja, yang perlu bersatu hati dan membawa perkara ini kepada majikan dan membuat rundingan,” katanya.

Namun begitu sekiranya majikan tetap ingkar kata Yusfarizal, dalam konteks ini jika majikan menamatkan kontrak mereka secara salah dan menamatkan kontrak disebabkan tidak mahu patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan, pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja.


CUTI TAHUNAN DAN CUTI SAKIT PEKERJA TIDAK BOLEH DITOLAK MAJIKAN

Majikan tidak boleh memotong sebarang bentuk cuti yang diberikan kepada pekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Yusfarizal menegaskan cuti tahunan dan cuti sakit merupakan hak pekerja, malah mereka wajib dibayar gaji walaupun tidak hadir bekerja dalam tempoh larangan itu.

“Sebenarnya tidak boleh sebab ini adalah Perintah Kawalan Pergerakan adalah perintah kerajaan.

"Kalau cuti sakit perlu diberi sekiranya sakit atau ada jangkitan COVID-19 dan cuti tahunan itu adalah hak pekerja.

"Jadi dalam keadaan ini tidak boleh tolak cuti sakit dan tidak boleh tolak cuti tahunan. Yang boleh diberikan adalah cuti bergaji ataupun konteks kerja dari rumah,” jelas Yusfarizal.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.