Perintah Khidmat Masyarakat berkuat kuasa esok, tangani isu pembuangan sampah kecil

Tindakan enggan, melawan, gagal mematuhi, atau melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat merupakan satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang dipinda. - Bernama
PUTRAJAYA: Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akan dikuatkuasakan bermula esok sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu akan berkuat di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.
"Hukuman ini dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan yang sama.
"Akta 672 akan dikuatkuasakan bersama-sama Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)," menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan selain Perintah Khidmat Masyarakat, pesalah juga boleh dikenakan denda natara RM2,000 dan RM10,000 bagi kesalahan sama.
"Penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat ini adalah sebagai tambahan kepada denda tersebut dan bukan bertujuan menggantikan denda sedia ada, bagaimanapun ia hanya boleh diperintahkan kepada pesalah selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah," menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan pesalah yang disabitkan dengan hukuman itu perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.
Perintah Khidmat Masyarakat merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan antaranya mengutip sisa pepejal, mencuci, memotong rumput dan membersihkan sarang labah-labah.
"Undang-undang tidak menghendaki pesalah menghabiskan tempoh 12 jam dalam satu sesi berterusan. Penjadualan dan pengawasan akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut perintah mahkamah," menurut kenyataan itu.
Menurut KPKT, tindakan enggan, melawan, gagal mematuhi, atau melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat merupakan satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang dipinda.
"Jika disabitkan kesalahan atas ketidakpatuhan tersebut, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000," menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat adalah untuk mendidik dengan objektif keseluruhan langkah itu untuk menanam kesedaran, tanggungjawab serta rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar dan bukannya menghukum secara berlebihan.
Menurut KPKT, orang awam boleh mengemukakan aduan kepada SWCorp menerusi talian 013-210 7472 (Whatsapp) atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) SWCorp di swcorp.spab.gov.my.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


