MALAYSIA
Perintah Mahkamah Tinggi agar SPRM sedia pernyataan memihak kepada pengarah syarikat diketepi
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah secara sebulat suara memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana memaksa pendakwaan menyediakan fakta yang memihak kepada pembelaan. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyediakan pernyataan bertulis mengandungi fakta memihak kepada seorang pengarah syarikat berhubung empat pertuduhan membabitkan RM15 juta.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah secara sebulat suara memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana memaksa pendakwaan menyediakan fakta yang memihak kepada pembelaan.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi juga terkhilaf apabila memutuskan bahawa Seksyen 51A(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah adalah setara dengan Seksyen 51 kanun sama di sisi perundangan.
Turut bersidang Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Faizah Jamaludin.
Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan Datuk Seri Sim Choo Thiam bagi mendapatkan pernyataan itu.
Mahkamah Sesyen telah menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes rasuah Sim.
Pada 10 Mei 2023, Sim, 55, telah didakwa meminta rasuah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad sebagai dorongan untuk bekas menteri Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberikan projek kepada syarikat itu.
Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.
Sim didakwa melakukan perbuatan itu di dua lokasi iaitu Pejabat Shaas Holdings serta tempat letak kereta di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur antara bulan Jun dan Julai 2021 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 4 Julai 2023, Sim memohon agar pendakwaan menyediakan pernyataan bertulis mengandungi fakta yang memihak kepada pembelaan beliau di bawah Seksyen 51A (1) (c) Kanun Tatacara Jenayah selepas Mahkamah Sesyen pada September tahun sama, menolak permohonannya.
Sim mendakwa SPRM hanya mengambil kenyataan Hamzah, yang namanya disebut dalam pertuduhan terhadap beliau hanya selepas dia didakwa di mahkamah.
Pada 21 Mac 2024, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan semakan Sim dan mengarahkan SPRM untuk menyediakan pernyataan itu selepas mendapati wujud fakta yang memihak kepadanya untuk didedahkan oleh pendakwaan kepada tertuduh sebelum perbicaraan dan ini menyebabkan pendakwaan mengemukakan rayuan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM iaitu Farah Ezlin Yusop Khan, Dr Ifa Sirrhu Samsudin, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Low Wei Loke serta Kee Wei Lon mewakili Sim.
-- BERNAMA