MALAYSIA
Perjalanan JB–Singapura kini hanya 5 minit: Ini 7 kelebihan RTS Link
RTS Link, yang meliputi jarak 4 kilometer (km) itu, dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan di Tambak Johor. - Foto RTS Link
KINI hanya 5 minit diperlukan untuk perjalanan dari Johor Bahru ke Singapura.
Itu antara kelebihan utama yang bakal dinikmati melalui projek Rangkaian Transit Sistem Link (RTS Link), sistem rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru, Malaysia dan Woodlands North di Singapura.
Lebih daripada sekadar projek infrastruktur, RTS Link, yang meliputi jarak 4 kilometer (km) itu, dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan di Tambak Johor, sambil memperkukuh hubungan ekonomi dan sosial antara dua negara jiran.
Berikut adalah tujuh manfaat utama RTS Link:
1. Kelajuan tinggi, kapasiti besar
RTS Link akan beroperasi pada kelajuan sehingga 80 km/jam. Setiap tren terdiri daripada empat gerabak, dengan kapasiti biasa sebanyak 605 penumpang dan muatan maksimum 1,069 penumpang ketika waktu puncak.
Sistem ini dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan anggaran 40,000 penumpang sehari apabila beroperasi sepenuhnya.
2. Mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor
Dengan lebih 350,000 pengguna harian di Tambak Johor, RTS Link dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan yang sering melanda pusat pemeriksaan sempadan tersebut.
Waktu operasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam dengan kekerapan pada waktu puncak 3.6 minit sementara waktu luar puncak enam minit.
3. Integrasi dengan pengangkutan awam lain
Stesen RTS di kedua-dua negara dihubungkan secara lancar dengan sistem MRT, bas dan mod pengangkutan lain, memudahkan perjalanan sambungan harian pengguna.
4. Proses Imigresen dipermudah
RTS Link menampilkan fasiliti Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang beroperasi dalam satu bangunan di setiap stesen, membolehkan proses sempadan diselesaikan dengan lebih cepat dan efisien.
5. Sistem kutipan tambang automatik
Sistem kutipan tambang menggunakan kaedah automatik seperti kad pintar tanpa sentuhan, e-wallet, EFTPOS dan kod QR, memudahkan transaksi dan mempercepatkan aliran penumpang.
6. Pemangkin pembangunan Johor
Projek ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan Johor Bahru dan kawasan sekitarnya, termasuk meningkatkan nilai hartanah di selatan Johor.
7.Mesra OKU
Menariknya, ini merupakan kali pertama sistem gelung induksi pendengaran diperkenalkan di dalam tren, bukan sahaja di Malaysia, malah juga di Singapura.
Ia direka khusus bagi membantu penumpang kurang upaya pendengaran mendapatkan maklumat dengan lebih jelas dan selesa sepanjang perjalanan