Perjanjian ART Malaysia-AS berat sebelah, memihak kepada kuasa luar - Tun M

Dr Mahathir (tengah) berkata perjanjian tersebut mengikat Malaysia kepada rentak tarian AS dan menjadikan negara kita negeri naungan atau lindungan. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober lalu bersifat berat sebelah serta memihak kepada kuasa luar.
Ringkasan AI
- Tun Dr Mahathir dakwa ART 2025 Malaysia-AS berat sebelah dan menjadikan Malaysia seolah-olah negeri naungan AS, sekali gus mengorbankan kebebasan berdagang dengan negara lain.
- Beliau persoal klausa keluar dan campur tangan AS dalam pelbagai sektor termasuk pemakanan, pertanian, ketenteraan dan nadir bumi, serta mendakwa perjanjian melanggar Perlembagaan dan hak Bumiputera.
- Kerajaan pertahan ART 2025 sebagai peluang akses pasaran lebih luas, dengan kadar tarif purata diturunkan daripada 25% kepada 19%, namun Mahathir anggap ia penjualan hak kebebasan memilih Malaysia.
"Setelah meneliti perjanjian tersebut, jelas ia melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak Melayu dan Bumıputera serta mengenepikan hak-hak Kerajaan Negeri (Senarai Negeri).
"'Exit clause' yang digunakan sebagai alasan oleh Perdana Menteri adalah satu penipuan yang tidak akan dapat mengeluarkan kita daripada perangkap ini," kata Dr Mahathir dalam sidang media, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata ART 2025 juga didakwa membenarkan dasar campur tangan AS kepada banyak industri termasuk pemakanan, pembuatan, pertanian, ketenteraan, dan nadir bumi.
Dakwa beliau, hampir keseluruhan ekonomi negara dikorbankan, demi mendapat pujian daripada Presiden AS, Donald Trump.
"Malahan hak untuk menentukan halal haram barangan yang dibawa masuk dari negara bukan Islam, dalam konteks ini Amerika tidak dapat lagi ditentukan oleh negara kita.
"Penjelasan kerajaan juga amat diragui. Ini adalah kerana komentar-komentar badan-badan terkait ekonomi dunia serta media asing melabel perjanjian ini sebagai penjualan hak kebebasan memilih Malaysia," ujar Dr Mahathir lagi.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Malaysia masih bebas dan boleh menentukan hala tuju sendiri tidak langsung meyakinkan dan berbeza dengan terma-terma yang wujud dalam perjanjian tersebut.
Anwar dan Trump menandatangani ART 2025 serta perjanjian mineral kritikal bagi memperkukuh kerjasama ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Perjanjian ART Malaysia-AS menyaksikan kadar tarif purata diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus, serta akses pasaran yang lebih meluas bagi eksport utama negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


