[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Perjanjian ART: Tiada kompromi keselamatan infrastruktur ICT negara - Teo

Bernama 24/11/2025 | 13:13 MYT
Teo menegaskan peruntukan perjanjian tidak memberikan sebarang kuasa veto kepada mana-mana pihak terhadap pendirian Malaysia berhubung perkara yang berpotensi menjejaskan keselamatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kedaulatan serta keselamatan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara kekal dilindungi di bawah undang-undang Malaysia dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata semua perkara melibatkan infrastruktur ICT seperti liputan 5G, 6G, satelit komunikasi dan kabel dasar laut tertakluk sepenuhnya di bawah undang-undang dan peraturan domestik Malaysia, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Teo menegaskan peruntukan dalam Perjanjian ART Malaysia-AS itu tidak memberikan sebarang kuasa veto kepada mana-mana pihak terhadap pendirian Malaysia berhubung perkara yang berpotensi menjejaskan keselamatan.

"Klausa dalam ART itu menyatakan bahawa Malaysia komited untuk hanya menggunakan pembekal teknologi komunikasi yang tidak menjejaskan perlindungan keselamatan dan infrastruktur harta intelek ICT.

"Malaysia dan AS akan berunding sama ada pembekal dapat memenuhi permintaan ini (klausa) obligasi Malaysia setakat ini adalah untuk berunding, ini bermakna mana-mana pihak termasuk AS tidak mempunyai kuasa veto bagi pihak Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

#Perjanjian ART #infrastruktur ICT #kedaulatan negara #Amerika Syarikat #Teo Nie Ching