MALAYSIA
Perjanjian gencatan senjata dan TOR jadi agenda utama perbincangan sebelum GBC - PAT

Mohd Nizam berkata kedua-dua perkara perlu diputuskan terlebih dahulu bagi memastikan Thailand dan Kemboja memahami serta mematuhi termasuk daripada segi pelaksanaan pemantauan oleh Pasukan Pemerhati AMT. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perjanjian gencatan senjata serta terma rujukan (TOR) menjadi agenda utama perbincangan peringkat sekretariat antara Thailand dan Kemboja hari ini yang memasuki hari kedua.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata kedua-dua perkara perlu diputuskan terlebih dahulu bagi memastikan Thailand dan Kemboja memahami serta mematuhi termasuk daripada segi pelaksanaan pemantauan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AMT).
AMT akan berperanan memastikan Thailand dan Kemboja mematuhi gencatan senjata yang dipersetujui pemimpin kedua-dua negara di Seri Perdana pada 28 Julai lepas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Yang berlaku sekarang adalah kumpulan kerja bersama sebelum Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) sebenar. Perkara penting yang ingin dibincang dan perlu diputuskan ialah perjanjian gencatan senjata dan juga TOR yang telah diringkaskan." TOR ini penting untuk memastikan kedua-dua pihak memahami dan mematuhinya... ia juga merangkumi perkara berkaitan AMT," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mesyuarat peringkat sekretariat yang disertai 54 wakil dari Thailand dan Kemboja itu berlangsung di Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia di sini menjelang Mesyuarat GBC Luar Biasa.
Semalam, Mohd Nizam berkata Malaysia tidak menyertai mesyuarat sekretariat selama tiga hari itu dan hanya berperanan sebagai pemudah cara sebelum Mesyuarat GBC Luar Biasa.
Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam 28 Julai lepas menerusi mesyuarat khas di Malaysia yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan susulan ketegangan yang semakin memuncak.
Mesyuarat itu, yang dipengerusikan Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju terhadap perjanjian gencatan senjata selepas beberapa minggu ketegangan antara kedua-dua negara meningkat.
Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi sudah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara serta beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik.
Ketegangan memuncak pada 28 Mei apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear, menyebabkan seorang tentera Kemboja terkorban.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami