MALAYSIA

Perjanjian timbal balas lindungi RM325 bilion perdagangan Malaysia-AS - MITI

Nina Rozman 13/11/2025 | 06:30 MYT
Tengku Zafrul (foto) berkata fokus utama kerajaan ialah mempertahankan pasaran eksport terbesar negara. -Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mempertahankan kepentingan perdagangan strategik dengan Amerika Syarikat (AS) menerusi perjanjian timbal balas (ART), yang bukan sahaja melindungi nilai perdagangan sebanyak RM325 bilion, tetapi juga mengelakkan risiko kenaikan tarif antara 50 hingga 100 peratus ke atas pelbagai sektor kritikal.


Ringkasan AI
  • Perjanjian Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memastikan kestabilan eksport Malaysia ke AS pada RM200 bilion dengan pengecualian tarif 19% untuk 1,711 garis tarif bernilai RM22 bilion, termasuk sektor E&E, aeroangkasa, getah, koko, dan farmaseutikal.
  • Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa ART tidak menjejaskan kedaulatan negara, sebaliknya memberi lebih perlindungan kepada Malaysia dengan mengukuhkan kedaulatan, menggalakkan diplomasi, dan memastikan tiada tindakan unilateral tanpa rundingan.
  • ART memberi jaminan jangka panjang kepada Malaysia dalam rantaian bekalan global, menyokong pelaburan, kolaborasi teknologi, dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, serta mengelakkan risiko kenaikan tarif sehingga 100%, yang boleh memberi kesan negatif kepada sektor kritikal seperti semikonduktor dan menyebabkan kerugian sehingga RM56.2 bilion serta mengancam 1.1 juta pekerjaan dan hampir 7,000 PKS.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menurut Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025, ART memastikan RM200 bilion nilai eksport Malaysia ke AS kekal stabil, selain memberikan pengecualian tarif 19 peratus bagi 1,711 garis tarif bernilai RM22 bilion merangkumi E&E, aeroangkasa, getah, koko dan farmaseutikal.

MITI menegaskan bahawa perjanjian itu dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan negara.

Dalam sidang media, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata fokus utama kerajaan ialah mempertahankan pasaran eksport terbesar negara.

“Tujuan kita jelas untuk melindungi pasaran eksport nombor satu kita. Pada 2024 sahaja, eksport ke Amerika Syarikat berjumlah RM22 bilion, dan ini yang kita elakkan daripada terjejas,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menegaskan bahawa isu kedaulatan tidak pernah digugat dalam rundingan ART.

“Tiada paksaan untuk Malaysia ikut sekatan Amerika Syarikat. Kita kekal berkuasa penuh atas undang-undang dan dasar sendiri,” ujarnya.

Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa klausa dalam ART sebenarnya memberi lebih perlindungan kepada Malaysia.

“Artikel 5.1 mengukuhkan kedaulatan kita, menggalakkan diplomasi dan memastikan tiada tindakan unilateral dikenakan tanpa rundingan,” tegasnya.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa Malaysia akan terus memberi keutamaan kepada pembukaan pasaran baharu, selaras dengan peruntukan tambahan dalam Bajet yang diumumkan Perdana Menteri bagi meningkatkan sokongan kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk mengembangkan operasi ke luar negara melalui MATRADE sehingga 100 peratus.

Pada masa sama, kerajaan turut menumpukan usaha memperdalam pasaran di mana Malaysia sudah mempunyai kehadiran sedia ada tetapi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, terutamanya di Amerika Latin dan Afrika yang menawarkan peluang pertumbuhan lebih besar.

Beliau berkata satu lagi fokus utama ialah memastikan rundingan berkaitan Perjanjian Timbal Balas (ART) terus memberi manfaat strategik kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor.

Walaupun 1,711 garis tarif bernilai RM22 bilion menikmati pengecualian di bawah ART, sektor semikonduktor kekal komponen terbesar dalam hubungan perdagangan Malaysia–AS.

"Malaysia akan meneruskan rundingan di bawah Section 232, yang ketika ini berada dalam momentum positif dan sejajar dengan kenyataan bersama kedua-dua negara, bagi memastikan kepentingan sektor kritikal ini terus dilindungi dan diperkukuh", kata beliau.

Tanpa ART, Malaysia berdepan risiko tarif antara 24% hingga 50% atau lebih, selain potensi tindakan di bawah Section 232 yang boleh menjejaskan sehingga RM56.2 bilion eksport semikonduktor.

Situasi itu turut mengancam 1.1 juta pekerjaan dan hampir 7,000 PKS yang bergantung pada rantaian bekalan pasaran AS.

MITI berkata ART menyediakan kepastian jangka panjang dan memantapkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global, sekali gus menyokong pelaburan, kolaborasi teknologi dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.







Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah kepentingan utama perjanjian ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat?
    A: Perjanjian ART melindungi nilai perdagangan sebanyak RM325 bilion dan mengelakkan kenaikan tarif antara 50 hingga 100 peratus ke atas sektor kritikal.
  • Q: Berapakah nilai eksport Malaysia ke AS yang dijamin kestabilannya melalui ART?
    A: RM200 bilion nilai eksport Malaysia ke AS dijamin kestabilannya melalui ART.
  • Q: Bagaimanakah ART memberikan pengecualian tarif kepada 1,711 garis tarif bernilai RM22 bilion?
    A: ART memberikan pengecualian tarif 19 peratus kepada 1,711 garis tarif bernilai RM22 bilion, termasuk dalam sektor E&E, aeroangkasa, getah, koko, dan farmaseutikal.



#Perjanjian Timbal Balas ART #art #MITI #kestabilan eksport Malaysia ke AS