KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun kita memerangi COVID-19, dan masih belum ada tanda-tanda kita akan dapat "memerdekakan" negara daripada pandemik itu dalam masa terdekat, tidak dapat dinafikan rata-rata masyarakat sudah semakin lelah.

Namun bagi anggota barisan hadapan yang turun "berperang" sejak pandemik dikesan di negara ini pada awal tahun lepas, khususnya petugas kesihatan, ternyata tidak wujud istilah "lelah", "putus asa" dan yang seumpamanya dalam kamus harian mereka.

Dalam temu bual bersama Bernama bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara, Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Kuldip Kaur Prem Singh berkata apa yang amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan sekarang ialah kerjasama dan sokongan orang ramai.

"Petugas barisan hadapan dan orang ramai perlu terus bersatu menerusi semangat 'Keluarga Malaysia' dan moto 'kita jaga kita' bagi mengharungi ujian pandemik ini.

Dalam usaha ini, matlamat mencapai imuniti berkelompok melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), perlu menjadi keutamaan agar ujian pandemik ini dapat diharungi secara bersama," katanya dalam temu bual menerusi panggilan telefon.

Menurut Dr Kuldip Kaur, sejak pandemik dikesan di negara ini, rata-rata petugas kesihatan terpaksa melakukan pengorbanan yang besar, khususnya dari segi masa bersama keluarga, menyebabkan ada yang mengalami tekanan.

"Pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah stres dalam kalangan kami warga kerja hospital, antaranya terpaksa bertugas lebih masa hampir setiap hari, ditambah dengan kurangnya mendapat cuti untuk berehat kerana ketibaan pesakit COVID-19 yang bagaikan tidak berhenti-henti.

"Namun kami tidak boleh cepat mengalah demi membebaskan negara daripada pandemik ini," katanya.

Bagi menangani masalah stres dalam kalangan petugas hospital itu, beliau berkata Hospital Sungai Buloh mewujudkan program Psychological First Aid (PFA) yang membolehkan petugas berkongsi tekanan melalui sesi luahan perasaan.

"Program ini yang diterajui oleh pakar psikiatri dan pegawai psikologi di sini sememangnya banyak membantu pihak pengurusan hospital, terutama dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap pelbagai aspek termasuk menguruskan situasi stres dan burn out dalam kalangan petugas kesihatan," jelasnya.

Dr Kuldip Kaur turut berpandangan penghargaan masyarakat umum terhadap komitmen petugas barisan hadapan juga mampu membantu menaikkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan.

"Rakyat Malaysia perlulah sentiasa terus menghargai komitmen dan pengorbanan semua petugas kesihatan dalam membendung penularan wabak COVID-19, kerana pada akhirnya kita ingin menang bersama," katanya.

Bercakap mengenai pengurusan hospital itu selepas ditukarkan status kepada Full COVID-19 Hospital, Dr Kuldip Kaur berkata beberapa perubahan dilakukan termasuk menubuhkan Unit Pengurusan Katil Hospital bagi mengurus dan mengawal selia pesakit COVID-19.

Katanya hospital turut menubuhkan unit porter yang berperanan menguruskan pergerakan pesakit.

"Semua skop kerja petugas kesihatan telah disusun semula dan ditambah baik untuk mengendalikan sepenuhnya perawatan semua pesakit COVID-19," katanya, menambah pasukannya sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang keadaan luar jangka.

Hospital Sungai Buloh merupakan antara beberapa hospital Kementerian Kesihatan yang kini berfungsi merawat pesakit COVID-19 sepenuhnya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Residen di Hospital Pakar Regency Johor Bahru Dr Nagappan N. Sekar ketika berkongsi pengalamannya merawat pesakit COVID-19, berkata hingga kini beliau tidak dapat melupakan satu kes terawal melibatkan pesakit lelaki berusia dalam lingkungan 50-an.

"Ketika kami menerima pesakit yang mempunyai diabetes ini, beliau terpaksa dimasukkan ke ICU akibat masalah sesak nafas disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

"Pesakit tersebut menerima bantuan oksigen, namun keadaannya terus merosot sehingga beliau memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Pada masa itu beliau bersendirian di hospital dan hanya kelihatan beberapa rakannya. Difahamkan ahli keluarganya berada di luar negara ketika itu," katanya.

Menurut Dr Nagappan, beliau dan pasukannya berusaha memberikan rawatan yang terbaik kepada lelaki itu namun keadaannya semakin merosot dan akhirnya pesakit tersebut meninggal dunia.

"...melihat beliau berjuang melawan penyakit ini juga amatlah sukar bagi kami," katanya.

"Lebih menyedihkan, keluarganya tidak mempunyai peluang untuk melihatnya secara fizikal dan bersamanya pada waktu-waktu terakhir.

"Saya dapat memahami betapa hebatnya trauma mental yang terpaksa dilalui keluarga pesakit itu," tambahnya.

Menjadikan kes itu sebagai peringatan untuk diri sendiri dan masyarakat, Dr Nagappan berkata ahli masyarakat harus terus saling menyokong dan bantu-membantu serta mengelak berfikiran negatif selain berusaha melindungi diri dan orang sekeliling.

"Kita semua berada di barisan terakhir pertahanan negara dan sementara menunggu kehadiran cahaya di hujung terowong, kita masih perlu melalui jalan yang panjang.

"Oleh itu, kesihatan mental kita sangat penting. Lakukan aktiviti yang boleh menggembirakan anda dan keluarga. Semoga kita semua dapat segera keluar daripada pandemik ini," katanya.

Dalam pada itu, Dr Nagappan berkata pandemik tersebut turut membawa hikmah tersendiri, dan menurutnya hikmah terbesar ialah sikap prihatin rakyat Malaysia terserlah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

"Semua orang saling melihat kebajikan saudara mara dan rakan-rakan mereka. Bantuan terus ditawarkan tanpa jangkaan pulangan.

"Itulah perkara paling indah yang berlaku kepada kita sebagai sebuah negara. Ini juga selaras amanat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan kita semua bersatu sebagai sebuah 'Keluarga Malaysia'," katanya.

Menurutnya pandemik juga menyaksikan kehadiran pelbagai organisasi menawarkan bantuan kepada yang memerlukan termasuk mewujudkan bank makanan.

Mengakhiri temu bual beliau, Dr Nagappan menggesa semua lapisan masyarakat tampil untuk divaksinasi secepat mungkin serta terus patuh pada prosedur operasi standard sebagai tanda solidariti ke arah memerdekakan negara daripada pandemik COVID-19.


-- BERNAMA