Mimbar Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam bahawa segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad di jalan Allah SWT.

Umat Islam juga diseru supaya bersatu demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama berdasarkan segala kemampuan yang ada dan wajib menolak sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang cuba menghancurkan keamanan negara ini.

"Yakinlah, bahawa segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad di jalan Allah SWT," seru khutbah itu seperti dipetik daripada teksnya.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam pada Rabu lepas memutuskan bahawa anggota keselamatan yang terbunuh dalam episod pencerobohan pengganas daripada kalangan pengikut waris Kesultanan Sulu di Lahad Datu baru-baru ini tergolong sebagai syahid akhirat.

Mereka disifatkan syahid kerana terkorban dalam mempertahankan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara.

"Marilah kita berdoa mudah-mudahan Allah SWT memberi ganjaran yang setimpal di atas jasa dan pengorbanan besar yang mereka lakukan serta menempatkan mereka bersama orang yang solehin," menurut teks khutbah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam episod pencerobohan pengganas pengikut waris Kesultanan Sulu itu, lapan anggota polis terbunuh dalam dua insiden berasingan di Lahad Datu dan Semporna masing-masing pada 1 dan 2 Mac.

Mimbar Jumaat hari ini juga merakamkan kekesalan terhadap pencerobohan yang berlaku di Sabah dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan dan menghancurkan keamanan negara.

Sehubungan itu, khutbah berkenaan merumuskan sebarang tindakan membanteras pencerobohan itu sebagai jihad dan berjuang di jalan Allah. Ia juga menyeru seluruh umat Islam bersatu mempertahankan setiap inci tanah air daripada dicerobohi mereka yang tidak bertanggungjawab.

Mimbar Jumaat turut menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian supaya bersama-sama berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, menjauhi perpecahan dan mengeratkan perpaduan agar usaha untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan.

Jemaah juga diingatkan supaya tidak terjebak dan terikut-ikut dengan mereka yang tidak sedar asal-usul serta tidak memahami istiadat latar belakang penduduk dan agama di negara ini, dan mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu demi kepentingan peribadi dan politik mereka.

Dalam hal berkaitan, ia menyeru agar umat Islam menghayati semangat perjuangan pahlawan yang terdahulu seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut serta perwira yang terkorban di Lahad Datu baru-baru ini sebagai pembakar semangat untuk sentiasa bersedia berjuang dan berkorban demi mempertahankan negara dan agama tercinta.

Dalam pada itu, mimbar juga menyeru umat Islam supaya berdoa agar Ops Daulat yang dilancarkan sejak Selasa lalu diberi perlindungan dan keselamatan serta kemenangan oleh Allah.

Ia berharap semua usaha itu mampu meredakan konflik dan ketegangan yang berlaku, dan seterusnya membawa kepada penyelesaian yang terbaik.

Jemaah kemudian menunaikan solat hajat khususnya mendoakan yang terbaik untuk operasi keselamatan di Sabah dan kesejahteraan negara amnya.