MALAYSIA

Perjumpaan gay di Kelantan: Kerajaan negeri sedia jumpa penganjur, polis

Sinar Harian 21/07/2025 | 06:30 MYT
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri tidak menolak untuk berbincang secara terbuka pada bila-bila masa bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara yang berlaku.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur yang dikaitkan dengan perjumpaan gay serta pihak polis berhubung isu yang telah mencetuskan kebimbangan, kekeliruan dan cemuhan masyarakat baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Kelantan bersedia berbincang secara terbuka dengan penganjur dan pihak polis berhubung isu perjumpaan gay yang mencetuskan kebimbangan masyarakat, serta menekankan keperluan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa bagi program yang menyentuh sensitiviti.
  • Program yang bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan adat masyarakat tidak akan diterima, dan kerajaan akan merujuk kepada enakmen syariah untuk tindakan lanjut jika terdapat pelanggaran.
  • Kerajaan negeri tidak menyekat program sah, namun pemilihan lokasi dan masa perlu sesuai; penolakan terhadap amalan LGBT adalah selaras dengan dasar negeri, hukum Islam dan undang-undang negara.


Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri tidak menolak untuk berbincang secara terbuka pada bila-bila masa bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara yang berlaku.

“Perkara ini berlaku kerana ketidaksefahaman. Sebab itu saya minta ia disiasat dan dilihat apa punca sebenar.

“Kalau ada program yang boleh menyentuh sensitiviti, mohon dahulu kebenaran daripada pihak yang terlibat seperti polis, JAHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan) dan Jabatan Kesihatan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Darulnaim di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, sebarang program yang bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan adat masyarakat Kelantan tidak akan diterima.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu bahawa kerajaan negeri akan merujuk mana-mana peruntukan dalam enakmen syariah yang mungkin telah dilanggar dan tindakan boleh diambil berdasarkan peruntukan tersebut.

Ujarnya, kedua-dua pihak perlu bersikap terbuka.

“Kesilapan yang berlaku mungkin bukan daripada pihak penganjur, tetapi oleh individu tertentu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menyekat pertemuan atau program yang sah, namun pemilihan lokasi dan masa program perlu diberi perhatian.

“Saya rasa mungkin pemilihan tempat itu tidak sesuai, di tengah kampung dan berlangsung hingga jam 2 pagi. Ia mencetuskan kecurigaan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk, sebab itu ada yang membuat laporan kepada polis,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan menolak amalan songsang seperti gay adalah sejajar dengan dasar kerajaan negeri serta hukum Islam.

“Dari sudut agama, LGBT jelas salah. Dari segi moral dan sahsiah orang Melayu, ia tidak boleh diterima. Undang-undang negara juga tidak membenarkan.

“Seperti di Terengganu, kita juga menentang sebarang bentuk LGBT dalam negeri ini,” katanya.

Mohamed Fadzli turut memaklumkan bahawa pihaknya dimaklumkan terdapat peserta yang datang dari luar Kelantan dan asalnya program tersebut dikatakan mahu diadakan di Selangor.

“Saya tidak mahu komen lebih awal sebab nak beri ruang kepada siasatan berjalan dengan betul. Kalau benar peserta itu bukan orang Kelantan, kita minta siasatan menyeluruh. Benda ini ada di mana-mana, bukan di Kelantan sahaja,” katanya. - Sinar Harian






#Kelantan #LGBT #perjumpaan gay #Mohamed Fadzli Hassan