Istiadat perkahwinan anakanda Sultan Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dengan warga Belanda, Dennis Muhammad Abdullah, pada 14 Ogos ini, akan berlangsung dengan penuh tradisi dan adat istiadat budaya Johor.

Tunku Aminah berkata ayahandanya Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu perkahwinan diadakan dengan menampilkan segala keunikan dan kekayaan warisan serta tradisi negeri itu.

“Tuanku Sultan pernah menunjukkan gambar perkahwinan ayahandanya (Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail) dan bondanya (Enche' Besar Kalsom Abdullah) yang diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi Johor.

“Baginda meminta saya mencontohinya bagi mengekalkan budaya dan tradisi Johor. Jika tidak, baginda khuatir keunikan kami sebagai orang Johor akan hilang dan dilupakan buat selama-lamanya,” Tunku Aminah memberitahu Royal Press Office (RPO) dalam temu bual eksklusif di Istana Bukit Serene di sini.

Istiadat pertunangan akan diadakan pada pukul 10 pagi, 14 Ogos ini di Istana Bukit Serene diikuti dengan istiadat nikah, manakala upacara bersanding akan diadakan pada jam 8 malam hari yang sama di Bilik Singgahsana, Istana Besar.

BACA: Ucapan tahniah banjiri laman sosial buat Tunku Tun Aminah

Bakal pengantin itu berkata, walaupun beliau menerima sebahagian pendidikan barat di sekolah antarabangsa di Singapura (turut belajar di sekolah kebangsaan untuk beberapa tahun dan mempelajari agama Islam di rumah), beliau sungguh bangga untuk mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Teluk Belanga pada hari perkahwinannya.

Rekaan Teluk Belanga mula diperkenalkan di akhir kurun ke-19 semasa pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar. ia mendapat namanya dari sebuah tempat di Singapura bernama Teluk Belanga, yang merupakan ibu negeri Johor ketika itu.

“Memandangkan ini yang ayahanda dan bonda mahukan, saya tidak mempunyai masalah mengenakan busana tradisional Johor tulen untuk majlis perkahwinan itu nanti,” kata Tun Aminah.

Bakal suaminya pula akan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.

"Ayahanda (Sultan Ibrahim) mahu dia (Dennis Muhammad) mengenakan dua kerongsang di songkok seperti mana pernah digunakan nenda (Almarhum Sultan Iskandar) pada perkahwinannya.

"Kerongsang ini diberikan kepada Almarhum Sultan Iskandar oleh bondanya Sultanah Aminah," kata puteri Johor itu.

Tunku Aminah berkata, selain alat kebesaran dan tradisi diRaja, perkahwinan itu sendiri akan berlangsung secara sederhana tetapi meriah bersama keluarga dan sahabat handai.

“Saya mahu ia menjadi satu majlis yang tenang dan meriah… itu yang paling penting. Ia tidak perlu diadakan secara besar-besaran dan penuh kemewahan,” katanya.

Tunku Aminah, yang dilahirkan pada 8 April 1986, adalah anakanda kedua daripada enam beradik dan satusatunya anak perempuan kepada Sultan Ibrahim dan Tuanku Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.