[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Perkasa bantuan bencana, CIMB Foundation siap sedia bantu mangsa, petugas barisan hadapan

Amzar Alif 01/10/2025 | 03:00 MYT
Ahmad Shahriman (dua, kiri) menyerahkan bekalan pek makanan sedia dimakan Kembara Kitchen untuk persiapan menghadapi bencana kepada anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam. - Foto CIMB Foundation
SHAH ALAM: CIMB Foundation terus memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara dengan memperluaskan sokongan terhadap pengeluaran makanan kecemasan, menerusi kerjasama strategik bersama pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) bantuan bencana, Kembara Kitchen.

Fokus utama inisiatif ini adalah penyediaan pek makanan sedia dimakan atau Hero Meals untuk diedarkan dalam tempoh 48 jam pertama selepas sesuatu bencana berlaku iaitu satu fasa kritikal yang sering menjadi cabaran dari segi logistik makanan untuk mangsa dan petugas barisan hadapan.

Sejak kerjasama bermula pada 2021, CIMB Foundation telah menaja lima unit mesin retort kepada Kembara Kitchen untuk membolehkan penghasilan sehingga 250,000 pek makanan kecemasan setiap tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Hero Meals direka untuk tahan sehingga dua tahun tanpa penyejukan, membolehkan bantuan makanan digerakkan segera ke kawasan bencana, terutama ketika akses komunikasi dan infrastruktur terputus.

“Apabila berlaku bencana, 48 jam pertama adalah saat paling mencabar. Kami menyedari betapa pentingnya pemakanan semasa krisis/kecemasan. Dengan itu, kami bekerjasama dengan Kembara Kitchen untuk meningkatkan penghasilan mereka dengan menajakan lima mesin retort untuk memastikan bekalan makanan tidak terganggu, supaya mereka yang terjejas menerima penjagaan dan sokongan yang diperlukan,” katanya.

xxx


xxx


Sementara itu, Pengasas Kembara Kitchen, William Cheah berkata, sokongan yang diterima daripada CIMB Foundation ini amatlah diperlukan demi memastikan bantuan kecemasan yang diperlukan mangsa bencana dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

“Bayangkan ada 5,000 orang terjejas akibat bencana dan terputus bekalan makanan. Seorang memerlukan tiga pek makanan sehari, bermakna lebih 30,000 pek makanan diperlukan pada tempoh 48 jam pertama untuk memastikan mereka mendapat nutrisi yang mencukupi.

"Dengan mesin retort yang ditaja CIMB Foundation ini, kami dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran Hero Meals, sekali gus memenuhi keperluan ketika berlakunya bencana,” tambahnya.

Ahmad Shahriman turut menegaskan bahawa kerjasama ini hanyalah permulaan kepada komitmen jangka panjang CIMB Foundation dalam memperkukuh ekosistem bantuan bencana negara.

“Komitmen kami di peringkat kumpulan adalah untuk menyalurkan hampir RM25 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030, khusus untuk kesejahteraan masyarakat termasuk bantuan kecemasan untuk komuniti serantau,” jelasnya lagi.

Inisiatif ini turut melibatkan penglibatan aktif kakitangan CIMB yang turun padang membantu kerja penyediaan makanan bersama sukarelawan Kembara Kitchen iaitu satu manifestasi semangat kesukarelawanan korporat dan solidariti rakyat.

“Ini bukan sekadar bantuan kewangan. Warga CIMB juga turun bantu sediakan makanan kecemasan, sebagai sebahagian daripada hala tuju kami memperkasakan pelanggan dan masyarakat, bukan hanya di Malaysia tetapi di ASEAN keseluruhannya,” ujarnya.

Seiring jangkaan fenomena banjir hujung tahun ini, CIMB Foundation dilihat terus memperkukuh peranan sebagai pemangkin bantuan kemanusiaan yang cekap dan responsif menepati makna kesiapsiagaan dalam mendepani bencana.



#CIMB Foundation #kembara kitchen #Hero Meals #Ahmad Shahriman Mohd Shariff