KUALA LUMPUR: Proses semak dan imbang Kerajaan Perpaduan sememangnya sudah wujud secara sendiri memandangkan ia terdiri daripada komponen parti politik yang pelbagai.

Namun begitu, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor, Dr Ng Ming Yip berkata, pemerkasaan jawatankuasa pilihan khas adalah antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan proses yang lebih terbuka dan telus.

"Institusi ketua pembangkang dan jawatankuasa pilihan khas perlu diperkasakan bagi memberikan lebih banyak autoriti kepada institusi-institusi ini.

"Kita tidak mahu kerajaan yang monopoli segala keputusan, tetapi ada pihak yang memberikan maklumat dan input tambahan.

"Dalam aspek semak dan imbang, jawatankuasa pilihan khas parlimen sangat penting. Dulu kita ada sembilan, sekarang sudah ada penambahbaikan kepada 11. 

"Hasil MoU yang diadakan oleh kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan sebelum ini, kita ada kewangan, keselamatan, kebebasan asasi dan hak di bawah perlembagaan, dan sebagainya.

"Antara reformasi yang telah dilaksanakan adalah menaikkan dan mengimbangi nisbah keanggotaan antara kerajaan dan pembangkang - yang terkini 5:4, yang saya lihat agak seimbang," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, semalam.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan yang terhasil daripada perbincangan antara pelbagai parti politik memberi cabaran dari segi keputusan dan hasil perbahasan di Parlimen.

"Kerajaan Perpaduan kena fikir macam mana nak memastikan atau meluluskan undang-undang atau dasar.

"Dua pertiga itu bukan satu jaminan kukuh, sebab ideologi yang berlainan akan memberi pengaruh terhadap keputusan.

"Itulah peranan pembangkang, iaitu memberikan respon dan maklum balas yang konstruktif atau cadangan yang baik kepada kerajaan, supaya apa yang berkaitan isu-isu yang harus diselesaikan segera seperti kos sara hidup dan pemulihan ekonomi, akan dilaksanakan seperti yang dirancang," kata Ng lagi.