LABUAN: Usaha membangunkan Wilayah Persekutuan Labuan perlu diperkasakan dan melalui proses transformasi supaya wilayah itu berada pada landasan tepat bagi menuju era digitalisasi, kata Ahli Dewan Negara Senator Tan Sri Anifah Aman.

Justeru, Pengerusi Perbadanan Labuan itu berkata pemerkasaan Jawatankuasa Eksekutif Perancang Wilayah Persekutuan Labuan perlu bagi memastikan langkah mengawal selia, merancang, menyelaras dan menasihati mengenai pemuliharaan, penggunaan dan pemajuan Labuan dapat dilakukan secara berkesan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai pengerusi jawatankuasa ini boleh mewakilkan kuasa pengerusinya dan saya harap kuasa itu diwakilkan kepada Perbadanan Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dihadiri Anwar di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan di sini hari ini.

Anifah berkata faedah cukai sebanyak tiga peratus wajar diperluaskan kepada lebih banyak jenis perniagaan di Labuan bagi menarik minat pelabur sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Menurutnya kadar cukai itu akan mengurangkan kos operasi dan mendatangkan keuntungan kepada syarikat untuk membuka peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan taraf hidup penduduk Labuan.

Selain itu, beliau berharap sebahagian daripada hasil kewangan yang diperoleh oleh Labuan diberikan semula kepada wilayah itu bagi tujuan pembangunan.

Anifah berkata Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah menyumbang hasil kewangan lebih RM1 billion kepada kerajaan.

Senator itu berkata penyediaan Taman Pertanian Kekal juga diperlukan untuk membantu usahawan muda serta menjamin keselamatan makanan dan pada masa sama mampu mengurangkan kadar pengangguran di Labuan.

"Kadar penggangguran di Labuan adalah yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu 7.2 peratus walaupun Kadar Keluaran Negara Kasar (KNDK) per kapitanya kedua tertinggi di Malaysia, selepas Kuala Lumpur iaitu RM85,560," katanya.

Dalam pada itu, Anifah juga berharap agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah.

Menurutnya pembinaan jambatan itu akan memudahkan aliran rantaian bekalan, selain kos pengangkutan yang rendah dan urusan keluar masuk tidak perlu lagi bergantung kepada masa perkhidmatan bot, feri dan kapal terbang.

-- BERNAMA