MALAYSIA

PERKASA sambut baik cadangan Ku Li

Irwan Muhammad Zain 28/09/2013 | 02:00 MYT
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah agar satu pelan ekonomi baharu diwujudkan bagi menggantikan dasar ekonomi yang berteraskan kepada semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB), demi masa depan negara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata PERKASA menyambut baik saranan Tengku Razaleigh itu kerana asas kepada cadangan tersebut terdapat dalam kerangka perlembagaan negara.

Namun, Ibrahim menegaskan cadangan oleh bekas Presiden parti Semangat 46 itu hanyalah kenyataan dasar yang memerlukan perincian untuk diteliti semua pihak.

"Cadangan yang Ku Li (Tengku Razaleigh) buat itu perlukan perincian kerana dari situ kita tahu apakah bentuk pelaksanaan yang akan dibuat.

"Selain itu, melalui perincian juga kita dapat menilai sama ada cadangan yang Ku Li buat itu komprehensif atau tidak.

"PERKASA menyambut baik cadangan ini kerana asasnya ia berada dalam kerangka perlembagaan negara dan selari dengan apa yang kami (PERKASA) perjuangkan selama ini," katanya kepada Astro AWANI dalam satu pertemuan pada Jumaat.

Ibrahim berkata untuk memperincikan cadangan tersebut, Tengku Razaleigh boleh mengambil peluang dalam perbahasan Bajet 2014 di Dewan Rakyat.

Beliau yakin, jika Tengku Razaleigh menggunakan peluang ketika perbahasan Bajet 2014, cadangan yang dibuatnya lebih difahami dan diterima.

"Pada saya, Ku Li sepatutnya mengambil peluang untuk perbahasan Bajet 2014 nanti untuk memperincikan Pelan Amanah yang beliau cadangkan," katanya.

Namun, Ibrahim berkata beliau tidak mahu bersikap apologetik dan menegaskan bahawa semua cadangan melibatkan dasar ekonomi adalah baik namun dari segi pelaksanaan ia sering menemui kegagalan.

"Inilah masalah yang sering kita alami, buat dasar atau bagi cadangan semuanya baik, tetapi bila masuk bab pelaksanaan entah ke mana.

"Sebab itu perlunya juga ditekankan tentang pelaksanaan sesuatu dasar tidak kira datangnya dari kerajaan atau mana-mana pihak.

"Kita ambil contoh, Al-Quran itu baik, dalamnya semua yang baik-baik belaka tetapi pelaksanaannya macam mana? Berapa ramai yang benar-benar laksanakan apa yang diperintahkan dalam Al-Quran?" soal bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Ibrahim turut menekankan kepentingan pembahagian kek ekonomi negara kepada semua kaum kerana ia juga penentu kepada kestabilan negara.

Katanya selepas 56 tahun merdeka, kepentingan ekonomi Bumiputera baru mencapai 20 peratus sedangkan mereka merupakan majoriti di negara ini.

"Bila PERKASA tekankan tentang pembahagian kek ekonomi kepada Bumiputera kami dilabelkan sebagai rasis sedangkan kami sering tegaskan bahawa dalam usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera, hak kaum lain seperti Cina dan India juga perlu dijaga," tegas beliau.

Pada Rabu, semasa merasmikan sidang meja bulat ekonomi anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan satu pelan ekonomi baharu bagi menggantikan dasar ekonomi yang berteraskan kepada semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) demi masa depan negara.
#Ibrahim Ali #pelan amanah #PERKASA #tengku razaleigh