[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Perkasa undang-undang gig, libatkan pihak industri - Penghantar Malaysia

Bernama 10/05/2025 | 07:03 MYT
Penghantar Malaysia menggesa kerajaan memperkasakan undang-undang industri gig khususnya sektor e-hailing dan p-hailing. - Penghantar Malaysia
KUALA LUMPUR: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menggesa kerajaan memperkasakan undang-undang industri gig khususnya sektor e-hailing dan p-hailing dengan melibatkan pihak berkepentingan dalam rantaian ekosistem industri itu.

Ringkasan AI
  • Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menggesa kerajaan untuk memperkasakan perundangan sektor e-hailing dan p-hailing dengan memastikan keseimbangan pelaksanaan dan penguatkuasaan, selaras dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
  • Kerajaan mengarahkan pemberhentian dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim, berkuat kuasa 24 Julai, bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi industri tempatan daripada persaingan tidak sah.
  • Penghantar Malaysia mendesak tindakan tegas bagi membanteras pemilik lesen PSV yang menyerahkan khidmat e-hailing kepada warga asing, terutamanya di Sabah, kerana boleh menjejaskan pendapatan pemandu tempatan dan menimbulkan risiko keselamatan penumpang.

Penghantar Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah berkenaan bagi memastikan perundangan yang dikuatkuasakan itu seimbang kepada semua pihak, termasuk dari segi impak pelaksanaan dan penguatkuasaan.
"Ini juga hasrat dan saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, melalui penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
"Kami tidak mahu perundangan baharu yang bakal diwujudkan akhirnya tidak mampu menyelesaikan isu dan permasalahan industri secara berkesan sebaliknya membebankan lagi industri terutama kepada kami yang menyediakan khidmat e-hailing dan p-hailing," menurut kenyataan itu.
Semasa sambutan Hari Pekerja 2025 pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan isu dan kebajikan berkaitan pekerja gig akan ditangani segera menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, yang dijangka dibentangkan di Persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Dalam pada itu, persatuan itu turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke susulan keputusan kerajaan mengarahkan pemberhentian operasi dua aplikasi e-hailing dari Rusia yang didakwa dijalankan secara haram iaitu InDrive dan Maxim, berkuat kuasa 24 Julai.
Menurut kenyataan itu, pengumuman tersebut memberikan penjelasan kepada pemandu yang bernaung di bawah dua syarikat berkenaan sekali gus memudahkan mereka merancang langkah seterusnya sekiranya ingin meneruskan perkhidmatan e-hailing.
"Undang-undang yang dikuatkuasakan perlu dimartabatkan oleh semua pihak yang terlibat dan situasi ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada, malah turut memberi kesan negatif kepada industri e-hailing secara keseluruhan.
"Kami juga menerima laporan dakwaan bahawa sebahagian pemandu yang berdaftar di bawah satu daripada syarikat terbabit menyerahkan perkhidmatan kepada warga asing, terutamanya di Sabah. Amalan 'Ali Baba' ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu tempatan malah mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan yang amat tinggi," menurut kenyataan itu.
Penghantar Malaysia turut mendesak agar operasi penguatkuasaan serta tindakan tegas diambil bagi membanteras pemilik lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang menyalahgunakan lesen mereka dengan menyerahkan khidmat e-hailing kepada warga asing, khususnya di Sabah.
-- BERNAMA
#Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia #undang-undang gig #e-hailing #Anwar Ibrahim