KUALA LUMPUR: Mewujudkan kuota dalam sesebuah organisasi bagi memberi peluang kepada wanita meningkat kedudukan merupakan perkara yang baik, namun ia tidak boleh dilihat secara luaran sahaja.

Pengarah Quetra Consultancy Mourhrna Anetha Reddy berkata, tidak wajar menaikkan kedudukan wanita dalam satu organisasi hanya atas faktor mahu memenuhi kuota, sebaliknya perlu memberi peluang yang adil serta menilai berdasarkan kemampuan mereka.

"Saya alu-alukan niat hendak naikkan kedudukan wanita, tetapi kalau kita naikkan, adakah sebab jantina atau keupayaannya?

"Kita mahu jadi negara yang berjaya, mahu capai perkara yang hebat. Jadi kalau wanita itu layak dan mampu, kenapa tidak kita naikkan kedudukannya?

"Soalan saya, kuota 30 peratus, seorang wanita dalam ahli lembaga pengarah, adakah itu menaikkan atau menjatuhkan sebenarnya?" katanya ketika muncul dalam Dialog 3 Penjuru di Astro AWANI, pada Khamis.

Mourhrna menambah, beliau tidak menafikan kepentingan bantuan dan inisiatif kerajaan memperkasakan wanita menerusi kuota kerajaan tetapi menolak jika ia dijadikan satu budaya atau amalan.

"Mahu memperkasakan wanita, bukan itu caranya. Berilah pendidikan, latihan. Seperti, sekarang ekonomi negara terarah kepada gig economy, jadi apa yang diperlukan di sini? Ini yang kita kena ajar mereka, bukan setakat bagi duit dan pangkat begitu sahaja.

"Semua perkara bermula dari rumah. Sebagai wanita saya tahu batas saya, dan saya juga tahu kemampuan saya. Lelaki juga perlu diajar untuk memahami yang kedudukan wanita itu setara dengan mereka.

"Tiada istilah wanita kena duduk di dapur. Kalau wanita duduk di dapur, kenapa chef ternama dunia ialah lelaki? Dan kenapa pula kita pernah ada CEO Pepsi, Indra Nooyi, seorang wanita?" katanya.