MALAYSIA

Perkemas pengurusan tanah perkuburan Islam demi kelestarian tanah wakaf - Raja Muda Perlis

Astro Awani 31/01/2026 | 05:00 MYT
Tuanku Syed Faizuddin (kanan) berkenan berangkat meninjau Makam DiRaja Lama Arau, pada Sabtu bersama wakil agensi seperti MAIPs, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar sistem pengurusan tanah perkuburan Islam di seluruh negeri diperkemas dan diseragamkan segera melalui satu piawaian khusus bagi menjamin kelangsungan dan kelestarian tanah wakaf untuk jangka panjang.

Baginda bertitah demikian susulan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan 6/2025 pada 4 Disember lalu yang telah memperakukan Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Perlis sebagai dasar rasmi baharu.

Menurut kenyataan MAIPs, titah tersebut dizahirkan ketika Tuanku Raja Muda berkenan berangkat meninjau Makam DiRaja Lama Arau bersama MAIPs, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; Pengarah JKR Perlis, Ir. Norikhwan Abu Seman dan Pengarah ICU Perlis, Maznah Musa.

Sebagai Yang Dipertua MAIPs, baginda menegaskan, dokumen garis panduan berkenaan perlu dijadikan rujukan utama setiap jawatankuasa kariah masjid serta pengurusan tanah perkuburan di negeri ini bagi mengelakkan isu pembaziran ruang, binaan tidak sekata dan kesesakan tidak terkawal di kawasan pusara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menjelaskan, penguatkuasaan garis panduan tersebut merupakan langkah proaktif MAIPs dalam menangani cabaran kepadatan tanah wakaf, sambil mengambil contoh model pengurusan jenazah terbaik di peringkat antarabangsa.

Dalam titahnya, baginda menyarankan agar Perlis mencontohi kesederhanaan Perkuburan Al-Baqi’ di Madinah, yang tidak menggunakan binaan kekal dan ditanda secara ringkas, selaras dengan tuntutan syarak.

Amalan itu turut membolehkan pengurusan tanah perkuburan dilakukan dengan lebih cekap dan teratur.

Baginda juga merujuk model di Singapura, khususnya Pusara Aman yang berkonsepkan ‘Perkuburan Dalam Taman.’

Reka bentuk nisan seragam dan penggunaan permukaan rumput rata memudahkan penyelenggaraan serta mengoptimumkan penggunaan ruang, meskipun negara itu berdepan kekangan tanah yang kritikal.

Dalam masa sama, Tuanku Raja Muda menyentuh tentang pengalaman pengurusan perkuburan di Mesir yang berjaya mengurus kawasan berkepadatan tinggi tanpa menjejaskan nilai sejarah atau penghormatan terhadap jenazah.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua jawatankuasa masjid di Perlis untuk mula melaksanakan penyusunan semula kawasan perkuburan masing-masing mengikut grid yang ditetapkan dalam garis panduan baharu tersebut.

Baginda turut berharap agar tanah perkuburan di Perlis dapat berubah wajah menjadi kawasan yang lebih tenang, bersih, tersusun dan indah dipandang, bukan lagi kawasan yang dipenuhi semak atau binaan bercampur aduk yang bertentangan dengan keputusan fatwa mengenai larangan binaan tambahan di tanah perkuburan - kecuali binaan lama yang diwartakan sebagai warisan sejarah.



#Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #perkuburan Islam #Tanah Wakaf