MALAYSIA

Perkembangan Ops Daulat Hari ke-21

Aizat Sharif 25/03/2013 | 15:31 MYT
Meskipun pasukan keselamatan terutamanya polis meraikan Hari Polis yang ke 206 pada hari ini, operasi ‘mopping up’ dan penggeledahan masih terus dijalankan di kawasan Tanjung Batu di Lahad Datu.

Pada jam 5 petang, seorang pengganas Sulu ditahan setelah menyerah diri selepas terserempak dengan sepasukan unit dari Grup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan operasi di Kampung Tanjung Batu.

Pengganas itu pada mulanya cuba melarikan diri namun setelah dikejar, dia akhirnya menyerah diri dan meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan kepadanya.

Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

Perkara tersebut disahkan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Dalam perkembangan yang sama, pewujudan Zon Selamat Sabah Timur atau ESSZONE di sepuluh kawasan mula berkuatkuasa hari ini.

Zon tersebut merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,400 kilometer dari Kudat hingga ke Tawau dan langkah itu diambil berikutan kelemahan sesetengah kawasan yang mudah diceroboh oleh pendatang asing tanpa izin dan mereka yang tiada kerakyatan.

Selain itu juga kerajaan dijangka akan menubuhkan suruhanjaya khas atau membuka kertas putih untuk menyiasat insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
#Lahad Datu #Ops Daulat #pengganas #Sulu