IPOH: DAP Perak enggan mengulas lanjut keputusan UMNO yang tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, kata Pengerusi DAP Negeri Perak, Nga Kor Ming, pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membuat sebarang ketapan hala tuju politik di negeri.

Tegas beliau, ketika ini DAP Perak sedang memberi fokus dalam membantu rakyat tatkala negara masih berdepan dengan ancaman penularan COVID-19.

“Pada waktu ini kami nak tumpukan fokus untuk membantu rakyat dalam menangani wabak COVID-19. Isu-isu politik yang lain pada hari ini saya enggan ulas lanjut, tapi kita serahkan pada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk memberikan ulasan selanjutnya.

“Yang kita nak fokus sekarang, nak tumpukan perhatian sepenuhnya fokus untuk bantu rakyat khususnya ketika pandemik COVID-19 yang telah meragut hampir 10,000 nyawa rakyat dan nampaknya keadaan sudah tidak terkawal,” kata Kor Ming.

Beliau berkata demkian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan RM5,000 daripada DAP Perak untuk inisiatif pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pinji di sini, pada Rabu.

[LAPOR LANGSUNG] 'Tiada isu peletakan jawatan' - Muhyiddin

Dalam pada itu, ADUN Aulong itu juga enggan memberi komen ketika ditanya sama ada akan wujud kemungkinan jajaran politik baharu antara UMNO dengan PH di Perak.

Bagaimanapun, Kor Ming berpendapat, situasi politik di Persekutuan akan memberi kesan bukan sahaja di perak malah di beberapa negeri lain seperti Kedah, Johor, Melaka dan Sabah.

“Ini adalah soalan spekulasi yang belum lagi terjadi, maka ketika ini kurang sesuai saya komen, tapi berdasarkan pada pengumuman UMNO semalam memang ianya memberikan kesan bukan sahaja kepada negeri Perak, malah negeri Kedah, Johor, Melaka dan Sabah,” kata beliau lagi.

Pada Selasa, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk berpihak kepada yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal di mata rakyat dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menuntut agar Muhyiddin mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

BACA: UMNO keluar PN: Apa pilihan yang ada? Ini kemungkinan bakal berlaku