KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melakukan sedikit perubahan ke atas prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan Fasa 2 susulan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan antara perubahan bagi negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN ialah kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Selain itu, Ismai Sabri juga memaklumkan perkhidmatan perakaunan di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

"Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari 6.00 pagi hingga 4.00 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.

"Waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang.

"Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal dua hingga tiga meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pelabuhan, lapangan terbang, dan sektor logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 Jam.

Katanya, operasi lombong dan kuari juga dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP Perlombongan dan Pengkuarian.

"Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta persekutuan," katanya.

Sementara itu, bagi negeri-negeri yang berada dalam Fasa 2 PPN, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju untuk membenarkan penggambaran filem di luar studio dengan pematuhan SOP ketat.

Selain itu, katanya waktu operasi perniagaan termasuk stesen minyak dibenarkan bermula dari pukul 6.00 pagi hingga 10.00 malam.