KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Bajet 2023.

FMM berkata ini penting memandangkan langkah itu tepat pada masanya dalam menangani dilema hutang negara selain dapat meningkatkan penampan fiskal yang memadai sebagai persediaan mengharungi cabaran ekonomi akan datang.

Bagaimanapun, katanya, kadar cukai itu tidak harus membebankan rakyat dan masih berupaya meningkatkan asas hasil terbabit.

"Oleh kerana asas sistem percukaian ini luas dan boleh meningkatkan cukai tidak langsung, ia akan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai langsung (cukai pendapatan individu dan korporat) bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang lebih menarik," kata Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dalam kenyataan hari ini.

Soh juga berpendapat bahawa pelaksanaan GST 2.0 tidak harus dipertimbang secara berasingan, sebaliknya dijadikan sebahagian daripada penilaian holistik sistem percukaian Malaysia yang memerlukan kerajaan mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan bagi tujuan kajian semula secara menyeluruh.

Beliau berkata, kalangan pengilang telah mengemukakan cadangan penambahbaikan GST 2.0 agar lebih mesra pengguna dan perniagaan, termasuk mengurangkan kadarnya kepada 4.0 peratus untuk memacu senario perniagaan lebih kondusif dan menurunkan kadar cukai korporat secara beransur-ansur kepada 20 peratus serta kadar sifar bagi semua barangan perlu dan perkhidmatan penting.

"Kerajaan perlu mengekalkan nilai ambang pendaftaran GST pada RM500,000 selain meminimumkan tempoh penangguhan pembayaran balik, terutama bagi pengeksport serta perniagaan dengan bekalan berkadar sifar. Ini kerana tempoh pembayaran balik yang panjang iaitu enam hingga lapan bulan telah menjadikan GST sebagai beban cukai terkumpul," katanya.

Mengikut Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi (MIER) bagi separuh pertama 2022 yang dijalankan pada Ogos 2022, sejumlah 74 peratus responen kaji selidik itu amat menyokong GST bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.

Kalangan responden kaji selidik itu juga menganggap GST sebagai struktur cukai lebih adil, sekali gus menghapuskan cukai yang lazimnya dalam SST.

-- BERNAMA