MALAYSIA

PERKESO giat tarik penjaja, peniaga kecil carum Lindung Kendiri

Bernama 09/02/2026 | 10:45 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua, kanan) dan Datuk Bandar MBPP Datuk R. Rajendran (dua, kiri) menandatangani MoU di Wisma PERKESO di sini hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempergiat usaha termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menggalakkan lebih ramai individu bekerja sendiri, khususnya penjaja dan peniaga kecil, mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata langkah itu penting berikutan jurang perlindungan sosial dalam kalangan golongan bekerja sendiri masih berada pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata laporan Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sehingga November 2025 merekodkan 3.26 juta individu bekerja sendiri, namun data Perkeso setakat 23 Jan lepas menunjukkan hanya 325,008 Orang Bekerja Sendiri (OBS) atau kira-kira 10 peratus aktif mencarum di bawah skim berkenaan.

"Daripada jumlah itu, hanya 38,358 pencarum di seluruh negara adalah dalam sektor penjaja, manakala Pulau Pinang merekodkan 5,053 pencarum atau 13.17 peratus," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan PERKESO di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Mohammed Azman berkata Pulau Pinang menjadi negeri pertama memeterai MoU itu, sekali gus diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem perlindungan sosial yang lebih tersusun dan boleh diperluaskan kepada 156 PBT di seluruh negara.

MoU berkenaan dimeterai beliau mewakili PERKESO, manakala MBPP diwakili Datuk Bandar Datuk R. Rajendran, dan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, H'ng Mooi Lye.

Beliau turut memaklumkan sepanjang 2025, PERKESO menyalurkan faedah berjumlah RM31.25 juta kepada 7,693 pencarum Skim Lindung Kendiri di seluruh negara, termasuk 424 individu bekerja sendiri di Pulau Pinang.

Sementara itu, H'ng berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama berkenaan dan akan mengkaji cadangan menjadikan caruman Skim Lindung Kendiri sebagai syarat mendapatkan lesen perniagaan.

Rajendran pula berkata inisiatif itu penting berikutan terdapat 5,220 penjaja berlesen di bawah MBPP yang terdedah kepada pelbagai risiko ketika menjalankan perniagaan, termasuk kemalangan, kecederaan, kebakaran dan masalah kesihatan.

-- BERNAMA








#perkeso #LINDUNG Kendiri #mencarum #penjaja #Peniaga kecil