MALAYSIA

PERKESO sedia salur bantuan mangsa letupan gas Universiti HELP - Ramanan

Bernama 15/01/2026 | 13:45 MYT
Ramanan (tengah), ketika sidang media pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026 di Menara PERKESO, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersedia menyalurkan bantuan kepada mangsa insiden letupan gas penyaman udara di Universiti HELP, di ibu negara, Isnin lepas.


Ringkasan AI
  • PERKESO di bawah KESUMA bersedia beri bantuan kepada mangsa letupan gas penyaman udara di Universiti HELP.
  • Mangsa yang cedera parah masih kritikal di hospital selepas insiden pada 12 Jan, meragut nyawa seorang pelajar UTAR.
  • Siasatan insiden dijangka selesai dalam dua minggu, melibatkan rakaman percakapan dan analisis kimia menggunakan GC-MS.


Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata bantuan awal dikendalikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandangkan mangsa adalah pelajar, namun PERKESO dan KESUMA akan menyediakan sokongan tambahan.

"Mangsa yang terlibat mengalami kecederaan parah dan masih berada dalam keadaan kritikal di hospital. Doa kita bersama mereka agar cepat sembuh," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026 di sini hari ini.

Kejadian pada 12 Jan lepas meragut nyawa seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, pelajar praktikal tahun tiga Kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), yang sepatutnya menamatkan latihan industrinya hari ini.

Kejadian pada 12 Jan itu meragut nyawa seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, pelajar praktikal tahun tiga Kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Letupan itu turut mencederakan sembilan individu, termasuk empat pelajar.

Mengulas perkembangan siasatan di Batu Kawan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata laporan siasatan insiden letupan itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.

"Pasukan forensik masih meneliti rakaman percakapan, pemeriksaan peralatan, pemilik dan pengeluar, serta mengambil sampel lokasi kejadian untuk analisis menggunakan Gas Chromatography Mass Spectrometry (GC-MS).

"Sesetengah sampel mungkin dirujuk ke makmal kimia bertauliah luar," katanya.

-- BERNAMA


#JBPM #perkeso #KESUMA #UTAR