Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

PERKESO tawar diskaun FCLB sehingga 80 peratus untuk majikan

Bernama 18/11/2025 | 20:15 MYT
Roshaimi berkata inisiatif itu diteruskan di Pulau Pinang sebagai lokasi kedua penganjuran festival berkenaan susulan sambutan menggalakkan daripada majikan pada Festival Mega iLINDUNGu pertama di Shah Alam pada Oktober lepas.
BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) kepada majikan sempena Festival Mega iLINDUNGu @ Pulau Pinang di tapak EVOKE, di sini yang akan diadakan pada 21 hingga 23 Nov ini.


Ringkasan AI
  • PERKESO menawarkan diskaun sehingga 80% Faedah Caruman Lewat Bayar kepada majikan sempena Festival Mega iLINDUNGu @ Pulau Pinang.
  • Inisiatif itu bertujuan melunaskan tanggungjawab terhadap pekerja, galakkan budaya pematuhan caruman, dan tingkatkan keprihatinan terhadap kebajikan pekerja.
  • Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs turut diadakan untuk menyantuni pencari kerja dengan 20 majikan terkemuka dan lebih 2,000 kekosongan jawatan.


Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely berkata, inisiatif itu diteruskan di Pulau Pinang sebagai lokasi kedua penganjuran festival berkenaan susulan sambutan menggalakkan daripada majikan pada Festival Mega iLINDUNGu pertama di Shah Alam pada Oktober lepas.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu majikan melunaskan tanggungjawab terhadap pekerja, malah menggalakkan budaya pematuhan caruman keselamatan sosial serta meningkatkan keprihatinan terhadap kebajikan pekerja.

"Para majikan yang berhadapan dengan masalah FCLB ini boleh datang sendiri ke lokasi program. Peluang untuk mendapatkan tawaran istimewa sehingga 80 peratus ini tidak selalu kami adakan.

"Justeru, ia perlu disambut dengan baik oleh semua majikan. Dalam program ini, PERKESO mahu membantu mereka untuk bersama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para majikan ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bersempena festival itu, PERKESO turut menganjurkan Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs sebagai komitmen untuk menyantuni segenap lapisan masyarakat termasuk golongan pencari kerja.

Roshaimi berkata, karnival berkenaan bakal menghimpunkan 20 majikan terkemuka dengan tawaran lebih 2,000 kekosongan jawatan merangkumi pelbagai bidang dan peringkat sehingga ke jawatan pengurusan kanan dengan gaji yang kompetitif.

Beliau berkata, Pusat Rehabilitasi PERKESO turut membuka sesi temu duga bagi 30 jawatan kosong di Pusat Rehabilitasi Neuro- Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO serta jualan produk kesihatan A-Care.

"PERKESO juga mengalu-alukan pengunjung untuk hadir ke kaunter khas yang memberi pelbagai perkhidmatan seperti semakan caruman, pendaftaran skim perlindungan sosial LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih, serta khidmat nasihat untuk sebarang pertanyaan berkaitan PERKESO," katanya.

Beliau berkata, pelbagai pengisian menarik disusun sepanjang tiga hari penganjuran festival termasuk saringan kesihatan percuma, pertandingan e-Sukan "LINDUNG Kendiri", Bual Bicara "LINDUNG Pekerja" selain pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai lebih RM20,000 termasuk empat motosikal, enam basikal, barangan elektrik dan perkakas dapur eksklusif.

Program istimewa bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim turut diselitkan dalam festival itu bagi memberi kefahaman lebih mendalam kepada masyarakat mengenai keselamatan sosial serta peranan PERKESO dalam melindungi rakyat Malaysia

-- BERNAMA





#perkeso #FCLB #produk kesihatan #barangan elektrik