MALAYSIA

Perketat keselamatan sekolah, jangan tunggu tragedi berulang - CUEPACS

Bernama 28/09/2025 | 08:53 MYT
Datuk Adnan Mat berkata sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi pelajar, guru dan komuniti sekolah. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sekolah bagi mengelakkan kejadian meragut nyawa pelajar daripada berulang.

Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi pelajar, guru dan komuniti sekolah dan sekiranya perkara itu gagal dipastikan, ia akan menjejaskan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan negara.

"CUEPACS berpandangan tindakan segera, menyeluruh dan sistematik mesti dilaksanakan. Tragedi kehilangan nyawa ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

"KPM perlu melakukan audit menyeluruh terhadap infrastruktur sekolah di seluruh negara, mengenal pasti titik risiko serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden tragis melibatkan seorang murid tahun tiga yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sekolah, semalam.

Adnan berkata KPM juga perlu melibatkan pakar KKP dalam pengurusan dan pelaksanaan aspek keselamatan di sekolah, selain kerjasama strategik dengan agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) bagi memastikan standard keselamatan dipatuhi dan risiko kemalangan dapat diminimumkan.

"Keselamatan murid harus menjadi agenda utama dalam pengurusan sekolah dan kementerian. Tiada kompromi boleh diberikan apabila ia melibatkan nyawa.

"Kami menggesa KPM memperkukuh prosedur keselamatan, mengutamakan aspek penyelenggaraan serta memastikan persekitaran sekolah bebas daripada risiko berbahaya," katanya.

Media semalam melaporkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai di sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira 11 pagi.

Berikutan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan tiada sebarang kompromi terhadap aspek melibatkan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan.

-- BERNAMA

#cuepacs #Kementerian Pendidikan #keselamatan #sekolah #nyawa pelajar