[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Perkhidmatan awam junjung titah Agong, komited dukung konsep berkecuali - KSN

Bernama 02/06/2025 | 13:45 MYT
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata anggota perkhidmatan awam akan terus komited mendukung konsep berkecuali, tidak berpihak dan kerajaan yang memerintah. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata anggota perkhidmatan awam akan terus komited mendukung konsep berkecuali, tidak berpihak dan kerajaan yang memerintah.


Ringkasan AI
  • Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan penjawat awam komited untuk kekal berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
  • Prinsip ini penting bagi menjamin tadbir urus yang baik serta pelaksanaan dasar kerajaan tanpa pengaruh politik.
  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan agar penjawat awam mengutamakan kepentingan rakyat dan negara serta tidak tunduk kepada arahan politik.


Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bahawa penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, beliau berkata prinsip itu menjadi tunjang kepada tatakelola yang baik dan memastikan setiap keputusan serta dasar dilaksana tanpa dipengaruhi politik demi kepentingan umum.

"Anggota perkhidmatan awam terus berdiri teguh menggalas amanah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta berpegang kepada ikrar memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata komitmen itu menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan dasar kerajaan dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap.

Shamsul Azri juga berkata sebagai jentera utama kerajaan, perkhidmatan awam beriltizam untuk melaksana serta menterjemah semua dasar yang diputuskan oleh kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini meminta penjawat awam agar sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

Seri Paduka Baginda bertitah pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat mengikut syarat serta peraturan ditetapkan dan bukan mengikut telunjuk orang politik.

-- BERNAMA


#KSN #perkhidmatan awam #titah Yang di-Pertuan Agong #konsep berkecuali