[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Perkhidmatan bot kecemasan percuma untuk penduduk Langkawi

Bernama 29/09/2025 | 14:30 MYT
Zuraidi berkata, perkhidmatan itu disediakan 24 jam sehari bagi memastikan ia dapat dimanfaat oleh masyarakat yang berdepan hal-hal kecemasan tanpa mengira waktu. - Gambar Facebook Rohayu Johari
ALOR SETAR: Penduduk Langkawi kini berpeluang menggunakan perkhidmatan bot kecemasan secara percuma yang disediakan oleh sebuah badan bukan kerajaan bagi membawa jenazah dari pulau peranginan itu ke tanah besar, dan sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata inisiatif itu diwujudkan oleh pihaknya susulan keperluan mendesak masyarakat setempat yang sebelum ini bergantung kepada bot persendirian atau nelayan dengan kos antara RM800 hingga RM2,000 bagi setiap perjalanan.

"Sekarang ini, urusan membawa jenazah banyak menggunakan bot persendirian atau bot nelayan, dan penduduk perlu membayar kos sewa yang tinggi bergantung kepada keadaan dan waktu.

"Perkara itu dilihat membebankan masyarakat Langkawi, jadi atas semangat dan tanggungjawab, saya mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan ini secara percuma untuk penduduk Langkawi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata dua bot disediakan dan perkhidmatan itu ditawarkan dengan mengambil kira panduan agensi yang berkaitan bagi memastikan keselamatan sepanjang perjalanan.

Zuraidi berkata perkhidmatan itu turut ditawarkan untuk membawa pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di tanah besar, tertakluk kepada keadaan pesakit dan kebenaran pihak hospital.

Beliau berkata bot kecemasan itu juga boleh digunakan bagi membawa jenazah pelancong yang meninggal dunia di Langkawi untuk dihantar ke tanah besar bagi urusan seterusnya.

Perkhidmatan itu disediakan 24 jam sehari bagi memastikan ia dapat dimanfaat oleh masyarakat yang berdepan hal-hal kecemasan tanpa mengira waktu.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif bagi menyediakan perkhidmatan tersebut yang dianggap lebih selamat bagi membawa jenazah serta pesakit.

Beliau berkata penggunaan bot persendirian atau nelayan sebelum ini menimbulkan kebimbangan daripada segi keselamatan ketika membawa pesakit serta ahli keluarga yang mengiringi pesakit dan jenazah.

"Jadi, dengan adanya bot kecemasan ini yang khusus untuk membawa jenazah, penumpang atau pengiring tidak lagi perlu menghadapi risiko seperti ketika mereka menggunakan bot persendirian atau nelayan," katanya.

-- BERNAMA



#Maritim Malaysia #meninggal dunia #bot kecemasan #nelayan