MALAYSIA

Perkhidmatan ETS dan komuter laluan Kampar-Slim River kembali pulih, KTMB mohon maaf

Bernama 21/06/2025 | 12:12 MYT
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tampil memohon maaf atas gangguan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter di laluan antara Kampar dan Slim River sejak semalam, yang berjaya diselesaikan sepenuhnya petang tadi.
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tampil memohon maaf atas gangguan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter di laluan antara Kampar dan Slim River sejak semalam, yang berjaya diselesaikan sepenuhnya petang tadi.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan gangguan bermula 5.44 petang semalam susulan masalah bekalan kuasa pada alat talian atas itu telah menyebabkan beberapa perkhidmatan tren tergendala dan mengalami kelewatan.
"Akibat gangguan itu, pergerakan tren di laluan terlibat hanya dapat dijalankan melalui satu landasan secara bergilir-gilir bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi.
"Situasi ini telah menyebabkan lapan perkhidmatan tren ETS dan dua perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan melebihi 60 minit," menurut kenyataan itu hari ini.
Sebagai langkah awal, KTMB telah memaklumkan situasi berkenaan kepada penumpang menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), manakala perkembangan terkini dikongsi secara berterusan melalui saluran media sosial rasmi.
Selain itu, KTMB memaklumkan kru bertugas turut mengedarkan makanan dan minuman kepada penumpang yang terjejas lebih dua jam di stesen dan dalam tren.
"Pasukan elektrifikasi KTMB juga telah digerakkan serta-merta ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dan segala usaha baik pulih telah berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 5 petang hari ini dan perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa," menurut kenyataan itu.
KTMB turut merakamkan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan, serta menegaskan komitmen untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan demi keselesaan dan keselamatan para pengguna.
--BERNAMA
#KTMB #Gangguan Perkhidmatan #ETS #laluan Kampar-Slim River