NATIONAL
Perkhidmatan feri Labuan-KK kembali beroperasi
Perkhidmatan feri ini mengembalikan sistem pengangkutan utama antara Labuan dan Sabah selepas tidak beroperasi selama lebih tiga tahun. - Foto Bernama
LABUAN: Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu-Labuan secara rasmi menyambung semula operasi hari ini sekali gus mengembalikan sistem pengangkutan utama antara Labuan dan Sabah selepas tidak beroperasi selama lebih tiga tahun akibat pandemik COVID-19.
Ringkasan AI
- Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu-Labuan telah kembali beroperasi selepas lebih tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, dengan Kinabalu Express berlepas dari Labuan pada 10 pagi dan perjalanan balik dari Kota Kinabalu dijadualkan pada 29 Mei.
- Feri ini mampu membawa 212 penumpang dan akan beroperasi setiap hari sehingga 3 Jun sempena Pesta Menuai dan cuti sekolah, sebelum beralih kepada jadual operasi setiap Jumaat, Sabtu, dan Ahad bermula 4 Jun.
- Kempen promosi tiket berlangsung hingga 3 Ogos bersempena Festival Flora Borneo (BFF), dengan harga tiket ekonomi untuk dewasa bermula RM35 dan kanak-kanak RM22.50, sementara tiket kelas pertama berharga RM45 dan RM27.50
Kinabalu Express yang berpangkalan di Labuan beroperasi pada kapasiti penuh dan berlepas dari Terminal Feri Antarabangsa Labuan (LIFT) pada 10 pagi, manakala perjalanan balik dari Kota Kinabalu dijadualkan 29 Mei pada 8 pagi.
Feri berkenaan mampu memuatkan 212 penumpang, menawarkan 146 tempat duduk kelas ekonomi dan 66 kelas perniagaan.
Untuk trip harian, perkhidmatan ini akan diteruskan dari 28 Mei hingga 3 Jun bagi meraikan Pesta Menuai dan cuti sekolah.
Feri akan beroperasi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 4 Jun, yang mungkin akan menyaksikan perubahan bergantung kepada permintaan.
Selain itu, kempen promosi diperkenalkan bermula hari ini hingga 3 Ogos bersempena Festival Flora Borneo (BFF) dan sepanjang tempoh ini penumpang tempatan boleh mendapatkan tiket ekonomi untuk dewasa pada harga RM35 dan kanak-kanak RM22.50, manakala tiket kelas pertama masing-masing pada harga RM45 dan RM27.50.
Penumpang warga asing pula akan dikenakan harga sebanyak RM80 (dewasa) dan RM45 (kanak-kanak) bagi kelas ekonomi, serta RM90 dan RM50 untuk kelas pertama.
Tiket standard akan mula diperkenalkan bermula 4 Jun dan mungkin menyaksikan sedikit kenaikan harga bagi setiap kategori.
Pembelian tiket boleh didapati secara dalam talian di labuanpay.my dan di kaunter tiket LIFT dan Jesselton Point di Kota Kinabalu.
Sebelum pandemik, perkhidmatan ini pernah mencatatkan hingga 120,000 penumpang setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif LIFT Noor Halim Zaini ketika ditemui hari ini berharap perkhidmatan feri ini akan merangsang kedatangan pelancongan serantau dan membantu memulihkan ekonomi tempatan.
-- BERNAMA