GEORGE TOWN: Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan ditawarkan secara percuma kepada penumpang warga Malaysia pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, kata Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mengikut jadual perkhidmatan sedia ada dari kedua-dua terminal feri, iaitu Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Seberang Perai dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini.
"Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen berterusan SPPP dan PPSB dalam memudahkan perjalanan rakyat Malaysia dan perkhidmatan feri percuma ini bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang, malah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan efisien," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan statistik perkhidmatan feri yang melibatkan perjalanan dua hala sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lepas, 9,185 penumpang pejalan kaki dan 1,874 kenderaan dua roda telah menggunakan perkhidmatan feri.
Yeoh berkata melalui tawaran perkhidmatan feri percuma itu, pengguna akan menikmati penjimatan perjalanan sehala sebanyak RM2 bagi penumpang pejalan kaki manakala RM2.50 bagi kenderaan dua roda.
Seiring dengan inisiatif perkhidmatan feri percuma itu dan sambutan ulang tahun SPPP ke-70 pada tahun ini, beliau berkata SPPP turut melaksanakan kerjasama strategik melalui pelaksanaan kempen “Kids Go Free Merdeka Special” di Muzium Feri Pulau Pinang.
"Program itu membolehkan kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 12 tahun dan ke bawah menikmati kemasukan percuma ke muzium feri dari 29 hingga 31 Ogos 2026," katanya.
-- BERNAMA