MALAYSIA

Perkhidmatan komuter Kulai-Johor Bahru bermula suku pertama 2026 - Loke

Bernama 11/12/2025 | 09:00 MYT
Loke (foto) berkata perkhidmatan itu akan dilaksanakan menggunakan set tren dan gerabak sedia ada yang sebelum ini beroperasi sebagai tren "shuttle" Gemas-Johor Bahru. -Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan merancang memperkenalkan perkhidmatan komuter khusus bagi laluan Kulai-Johor Bahru mulai suku pertama tahun depan sebagai langkah meningkatkan kemudahan mobiliti rakyat di wilayah selatan Johor.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pengangkutan merancang memperkenalkan perkhidmatan komuter khusus bagi laluan Kulai-Johor Bahru untuk meningkatkan kemudahan mobiliti rakyat di wilayah selatan Johor.
  • Perkhidmatan tren komuter ini akan menggunakan set tren dan gerabak sedia ada yang sebelum ini beroperasi sebagai tren "shuttle" Gemas-Johor Bahru.
  • Dengan jadual baharu yang akan diperkenalkan, kekerapan tren menuju Johor Bahru dan Kulai akan ditingkatkan, menjadikan operasi hampir setiap setengah jam.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menterinya Anthony Loke berkata perkhidmatan itu akan dilaksanakan menggunakan set tren dan gerabak sedia ada yang sebelum ini beroperasi sebagai tren "shuttle" Gemas-Johor Bahru.

"Selain perkhidmatan ETS (tren elektrik), kita juga mahu memperkenalkan tren komuter khusus untuk laluan Kulai ke Johor Bahru. Ini sedang dirangka dan sementara menunggu set tren baharu, kita akan optimumkan gerabak sedia ada.

"Koc yang digunakan antara Gemas dan Johor Bahru akan disusun semula untuk laluan Kulai-Johor Bahru," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Keretapi Kempas di sini hari ini.

Loke berkata penggunaan perkhidmatan komuter bagi laluan Kulai-Johor Bahru membolehkan kekerapan tren ditingkatkan dengan ketara, memandangkan perjalanan hanya mengambil kira-kira 20 minit.

Beliau berkata dengan jadual baharu yang akan diperkenalkan kelak, sebanyak 16 perkhidmatan menuju Johor Bahru dan 16 perkhidmatan lagi ke Kulai akan disediakan setiap hari, menjadikan kekerapan operasi hampir setiap setengah jam.

Langkah berkenaan, beliau berkata dijangka menggalakkan penduduk sekitar Kulai dan kawasan sepanjang laluan tersebut menggunakan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan serta kebergantungan kepada motosikal dan kenderaan persendirian.

Sementara itu, mengenai projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Johor, Loke berkata kelulusan bagi projek berkenaan sedang dalam perbincangan dan perincian berkaitan pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi juga telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.

"Masih ada perincian yang belum dapat dimuktamadkan, kita akan muktamad dalam kadar segera dan terdekat. Saya yakin akan ada keputusan tidak lama lagi," katanya.

Kerajaan Johor sebelum ini memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan ART selewat-lewatnya awal tahun depan.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail juga bertitah dan menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi serta projek ART yang belum dilaksanakan.

Terdahulu, Loke dalam ucapan penyempurnaan pengoperasian PLBEGJB berkata projek itu merupakan pencapaian besar yang membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk rakyat.

Beliau berkata ia bukan sahaja memberikan manfaat kepada Johor, tetapi turut menyumbang kepada hala tujuh pembangunan negara secara keseluruhan.

Projek itu juga dijangka memberikan impak besar menerusi peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor perniagaan logistik, makanan dan pengangkutan sampingan di kawasan sekitar stesen yang dibangunkan.

"Ia sekali gus meningkatkan daya tarikan Johor Bahru sebagai hab logistik industri dan perkhidmatan, terutama dengan kesalinghubungan dengan Singapura.

"Melalui perjalanan yang lebih singkat dengan fasiliti stesen baharu yang memberikan keselesaan kepada penumpang, ia memberi alternatif kepada penduduk yang selama ini bergantung kepada kenderaan persendirian," katanya.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tujuan Kementerian Pengangkutan memperkenalkan perkhidmatan komuter khusus bagi laluan Kulai-Johor Bahru?
    A: Tujuannya adalah untuk meningkatkan kemudahan mobiliti rakyat di wilayah selatan Johor.
  • Q: Bagaimanakah perkhidmatan tren komuter ini akan dilaksanakan?
    A: Perkhidmatan tren komuter akan menggunakan set tren dan gerabak sedia ada dari tren "shuttle" Gemas-Johor Bahru.
  • Q: Berapakah jangka masa perjalanan menggunakan perkhidmatan komuter ini?
    A: Perjalanan menggunakan perkhidmatan komuter ini dijangka mengambil kira-kira 20 minit sahaja.
  • Q: Apakah impak yang dijangka terhasil daripada pengenalan perkhidmatan komuter ini?
    A: Pengenalan perkhidmatan komuter ini dijangka akan menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan serta kebergantungan kepada motosikal dan kenderaan persendirian.



#Anthony Loke #Kulai-Johor Bahru #komuter #wilayah selatan Johor