Skip to main content

Malaysia

Perkongsian pengalaman pengantaraan Malaysia-Pakistan satu 'keperluan strategik’ - Pesuruhjaya Tinggi

41749245803_TBSyedAhsan.jpg
Syed Ahsan berkata pengalaman Malaysia dan Pakistan menunjukkan bahawa negara perlu menyesuaikan pendekatan diplomasi dalam apa yang disifatkan Anwar sebagai “zaman pasca normal”. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Pakistan perlu berkongsi pengalaman serta pendekatan dalam menangani konflik ketika ketegangan geopolitik semakin mengancam kestabilan serantau dan global, kata Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah.

Beliau berkata kerjasama itu merupakan satu “keperluan strategik” memandangkan kedua-dua negara mempunyai kedudukan geopolitik penting dan memainkan peranan sebagai pengantara atau pemudah cara dalam beberapa konflik mutakhir.

“Kedua-dua negara memainkan peranan sangat penting dalam menangani konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran serta konflik Kemboja-Thailand, sama ada sebagai pengantara atau pemudah cara,” kata beliau dalam wawancara menerusi Bernama World pada Isnin bertajuk "Malaysia & Pakistan: Diplomacy For Peace." 

Syed Ahsan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan tenang ketika konflik tercetus antara Thailand dan Kemboja, pada saat mekanisme sedia ada ASEAN berdepan tekanan, sekali gus membantu membuka jalan kepada gencatan senjata dan pemeteraian perjanjian Kuala Lumpur.

Beliau berkata Pakistan pula berada pada kedudukan sesuai untuk membantu menjayakan rundingan antara AS dan Iran kerana Tehran merupakan negara jiran yang mempunyai hubungan sejarah rapat dengan Islamabad, manakala Washington kekal antara rakan terdekat Pakistan.

“Pada ketika itu, keadaan sukar diramal kerana jurang pendirian antara kedua-dua pihak terlalu besar. Iran ialah jiran terdekat kami dengan hubungan sejarah yang kukuh, manakala Amerika Syarikat merupakan antara rakan terdekat kami, justeru kami mengambil peranan untuk membantu.

“Kami amat berbangga dengan perjanjian Islamabad,” katanya.

Syed Ahsan berkata pengalaman Malaysia dan Pakistan menunjukkan bahawa negara perlu menyesuaikan pendekatan diplomasi dalam apa yang disifatkan Anwar sebagai “zaman pasca normal”.

“Diplomasi, konflik dan usaha pengantaraan bukan perkara yang sama. Kita perlu menyesuaikan pendekatan dengan berkongsi amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain,” katanya.

Beliau menegaskan kepercayaan merupakan unsur paling penting dalam setiap usaha pengantaraan kerana rundingan sukar bergerak maju jika semua pihak tidak melihat pengantara sebagai pihak yang jujur dan berniat baik.

Syed Ahsan berkata pengantara perlu memberi tumpuan kepada kemajuan secara berperingkat dan bukannya cuba menyelesaikan sesuatu konflik dalam satu pertemuan, di samping kekal sabar serta tidak terpengaruh dengan retorik apabila rundingan berdepan halangan.

Beliau turut memuji keupayaan Anwar membina hubungan peribadi dengan pemimpin antarabangsa, yang menurutnya banyak membantu usaha Malaysia meredakan konflik.

Mengenai cabaran geopolitik yang lebih luas, Syed Ahsan memberi amaran bahawa konflik tidak terhenti dalam batas geografi semata-mata, sebaliknya boleh mencetuskan kesan ekonomi dan strategik di tempat lain, termasuk Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement