Perkuatkan Warisan untuk PRK Batu Sapi - Shafie Apdal

Firdaus Azil
Oktober 7, 2020 05:44 MYT
Shafie anggap VK Liew merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa, bukan sahaja kepada rakyat di Sabah, bahkan di Malaysia. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan parti itu akan terus diperkuatkan di Batu Sapi bagi meneruskan aspirasi bekas Ahli Parlimennya, mendiang Datuk Liew Vui Keong untuk terus membela rakyat negeri itu.
Mohd Shafie berkata, pemergian Liew, yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), amat dirasai.
Ujarnya lagi, mendiang merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa, bukan sahaja kepada rakyat di Sabah, bahkan di Malaysia.
“Saya berharap semua masyarakat yang berada di Batu Sapi sentiasa bergabung tenaga, berusaha mempastikan apa yang telah dihasratkan oleh mendiang Datuk VK Liew akan dapat kita teruskan untuk memperkuatkan Parti Warisan dan juga membela rakyat bersama seperti apa yang diharapkan oleh mendiang Liew.
“Saya berharap rakyat Batu Sapi akan terus memberi sokongan padu kepada Parti Warisan. Teruskan penyatuan rakyat kita. Kita berpadu dan kita teruskan perjuangan,” katanya kepada media, baru-baru ini.
BACA: SPR bermesyuarat Selasa depan, bincang tarikh PRK Batu Sapi, Sabah
Sumber Facebook shafieapdalofficial
Liew, 60 tahun menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu, 2 Oktober lepas.
Beliau sebelum itu dilaporkan koma dan dirawat kerana jangkitan kuman di paru-paru.
BACA: Ahli Parlimen Batu Sapi, V K Liew meninggal dunia
Susulan kematian beliau, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengisi kekosongan luar jangka kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.
“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka Kerusi Parlimen Kawasan P.185 Batu Sapi, Sabah dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
BACA: Dewan Rakyat maklumkan kekosongan kerusi Batu Sapi
Dalam pada itu, Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna, menzahirkan penghargaan kepada penduduk Batu Sapi kerana membantu Warisan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Sabah baru-baru ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Parlimen itu kerana membantu mengekalkan kemenangan di Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum yang lepas.
#PRK Batu Sapi #PRK Batu Sapi 2020 #Shafie Apdal #Warisan #Sabah #Liew Vui Keong #PRN Sabah #jangkitan paru-paru #Azhar Azizan Harun #Perlembagaan Persekutuan #Ahli Parlimen Semporna #DUN Sekong