Perkukuh kurikulum pendidikan, bukan hapuskan sistem tiga aliran menengah - TPM

Nazialita Geynna Maharan
April 15, 2017 04:30 MYT
TPM Zahid ((dua dari kiri) diberi penerangan olen pembuat keris tradisional, Abd Majid Abd Jamil (kiri) ketika melawat pameran pada perasmian Ekspresi Negaraku di Dataran Pavilion Kuala Kangsar hari ini. - Bernama
Sistem tiga aliran sekolah menengah tidak wajar dihapuskan sebaliknya kurikulum pendidikan untuk memantapkan integrasi nasional perlu dirangka secara teliti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem pendidikan sedia ada seharusnya diperkukuhkan untuk melahirkan nilai integrasi nasional tanpa mengetepikan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
"Jangan salah tafsir bahawa sistem tiga aliran dihapuskan sebaliknya kita kena memperkukuhkan sistem itu, di peringkat sekolah rendah.
"Tetapi di peringkat sekolah menengah kurikulum yang baru untuk mewujudkan bangsa Malaysia hendaklah dilihat dengan lebih teliti," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Ekspresi Negaraku: Simbol Cinta Rakyat Pada Negara di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar pada pagi Sabtu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, semua pihak terlibat harus mencari jalan untuk menyatukan pendidikan agar perpaduan nasional di kalangan rakyat dapat dipupuk dengan lebih baik.
"Saya tidak menyarankan penghapusan sekolah pelbagai aliran dan Dasar Pelajaran Kebangsaan sebenarnya menyebutkan bahawa bahasa-bahasa ibunda harus digalakkan pengajarannya,"katanya lagi.
#Kuala Kangsar #nilai #pendidikan #Perdana Menteri #sekolah #Timbalan Perdana Menteri #Zahid Hamidi