PERDANA Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merasmikan pertandingan Golden Mathematics Challenge 2023 di Maktab Rendah Sains Mara ATM Bera.

Program yang bermula pada 28 Julai 2023 sehingga hari ini telah diterajui oleh Muafakat MATRA dan pihak BASF Petronas Chemicals.

Program yang julung kali diadakan di daerah Bera ini telah menarik penglibatan semua sekolah menengah di Bera. Malah, enam negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan turut
menghantar wakil menyertai pertandingan ini.


Datuk Seri Ismail Sabri berkata, beliau menyokong penuh penganjuran program Golden Mathematics Challenge ini kerana ia dapat memupuk minat para pelajar untuk mendalami Pendidikan STEM.

“Sektor Pendidikan negara masih berhadapan dengan cabaran untuk menarik minat para pelajar menguasai STEM.

“Keputusan SPM 2022 baru-baru ini jelas menunjukkan subjek Matematik merekodkan peratusan kegagalan pelajar paling tinggi dan sebanyak 54 peratus daripada keseluruhan pelajar menduduki SPM 2022 memperoleh gred D, E dan G.

“Penekanan perlu diberikan untuk memperkukuhkan STEM dalam sistem pendidikan kita bagi menarik lebih ramai pelajar,” kata Datuk Seri Ismail Sabri.

Beliau juga menyatakan tujuan Kerajaan mewujudkan MRSM adalah bagi membantu pelajar luar bandar mengembangkan bakat serta melahirkan pelajar bumiputera yang berpotensi tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan matematik.

“Sewaktu saya di Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, saya telah mengubah dasar kemasukan pelajar bagi membolehkan lebih ramai anak-anak orang miskin tegar dan luar bandar dapat belajar di MRSM,” kata
beliau.

Sementara itu, sektor Pendidikan di Bera telah melalui perubahan yang ketara dan tidak lagi berada di kedudukan tercorot di negeri Pahang.

“Di Pahang, kita ada 14 PPD dan bagi peringkat Bera, terdapat peningkatan untuk SPM dari segi yang lulus tapi kita masih di ranking yang kesembilan dalam Pahang. Namun, untuk STPM, Bera menduduki ranking kedua di Pahang.”

Sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera sentiasa berada di kedudukan ‘Top 10’ di negeri ini dalam peperiksaan SPM pada setiap tahun.

Jumlah pelajar yang mendapat ‘straight A’s’ di daerah ini pada tahun 2022 juga meningkat kepada 22 orang berbanding 12 orang pada tahun 2021.

Ini merupakan usaha berterusan semua pihak, dan pengurusan program yang berkesan menyebabkan berlaku peningkatan daripada segi Gred Purata Daerah, jumlah pelajar layak terima sijil dan calon ‘straight A’s’.

“Mereka yang berjaya dalam hidup adalah mereka yang cemerlang dalam pendidikan. Ramai anak daripada keluarga miskin telah berjaya dan kejayaan tersebut bukan untuk diri sendiri sahaja tapi untuk mengubah
hidup keluarga” kata Datuk Seri Ismail Sabri.


*Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Pejabat Urus Setia Perdana Menteri Kesembilan