KUALA LUMPUR: Pemandu p-hailing dinasihatkan supaya membawa kenderaan dengan perlahan dan tidak melanggar lampu merah ketika sedang menghantar barang pelanggan.

Nasihat itu disuarakan Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance of Road Safety, Prof Kulanthayan KC Mani yang menegaskan, kemalangan melibatkan pemandu p-hailing dapat dikurangkan sekiranya mereka mematuhi peraturan sebaiknya.

Menurutnya, terdapat tiga jenis kemalangan yang biasa berlaku melibatkan pemandu tersebut iaitu pelanggaran depan, pelanggaran belakang dan pelanggaran sisi.

BACA: Tiga hingga empat penunggang p-hailing terlibat kemalangan seminggu

“Dalam tiga jenis pelanggaran ini, pelanggaran yang paling bahaya ialah langgar depan dan di lampu isyarat, risiko untuk langgar depan cukup tinggi.

“Sebab itu kita bimbang apabila ‘p-hailing riders’ atau mana-mana pengguna jalan raya, apabila mereka langgar lampu merah dan bergerak, mereka akan bertembung kenderaan di laluan lain, semuanya akan jadi langgar depan.

“Kemungkinan kemalangan langgar depan ini akan berakhir dengan kemalangan maut adalah tinggi dan ini yang kita cukup bimbang.

“Sebab itu kita minta kepada kedua-dua pihak, kepada pemandu p-hailing ini dan pengguna jalan raya, anda perlu kurangkan kelajuan anda untuk keselamatan anda dan juga jangan langgar lampu merah. Itu cukup bahaya pada diri anda,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad. 

Keletihan Pemanduan | Atasi masalah kalangan pemandu p-hailing

Tambah beliau, pemandu p-hailing juga dinasihatkan supaya tidak melawan arus terutamanya untuk memendekkan jarak perjalanan kerana ia meningkatkan risiko pelanggaran depan.

Selain itu, Kulanthayan juga menasihatkan mereka supaya lihat dan rancang destinasi ingin dituju sebelum bergerak, bukan ketika dalam perjalanan.

“Jika di mana anda perlu lihat semula ‘maps’, berhenti di tempat selamat, lihat dahulu kemudian barulah gerak.

“Kita bimbang jika buat dua kerja pada masa sama, tumpuan tidak diberi sepenuhnya kepada jalan raya dan kita terdedah kepada kemalangan.

“Tapi kita kena ingat, bila kemalangan, bukan hanya kita terlibat tapi orang lain juga boleh menjadi mangsa,” ujarnya.