KUALA LUMPUR: Dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya usaha promosi 'Malaysian Malaysia' akan menghapuskan Tanah Melayu dan diganti dengan negara berbilang kaum tidak berasas dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta tidak menafikan hak-hak kaum lain, justeru tiada penindasan akan berlaku kepada mana-mana kaum di negara ini.

"Kita hidup berteraskan Perlembagaan, semua kaum ada hak sama rata cuma orang Melayu ada keistimewaan. Kita tidak anggap negara ini negara Melayu, ini negara berbilang kaum dalam konteks di mana majoritinya Melayu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang di Universiti Taylors berkata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

"Beliau (Dr Mahathir) bercakap dalam konteks politik bahawa cubaan jadikan negara pelbagai etnik dan mengetepikan kepentingan kaum Melayu (namun) ini sukar dilaksanakan kerana peruntukan Perlembagaan jelas yang nyatakan mengenai kesitimewaan Melayu yang dijaga oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir pada Selasa yang menyatakan usaha mempromosi negara berbilang bangsa sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menafikan kenyataan Dr Mahathir bahawa orang Melayu akan hilang kuasa politik kerana perpecahan antara mereka sehingga hilang penguasaan orang Melayu di negara ini, Nik Ahmad Kamal menjelaskan senario tersebut sukar berlaku kerana setiap kerajaan yang memerintah bertanggungjawab dan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam konteks Malaysia, majoriti penduduk adalah kaum Melayu, jadi tidak timbul isu bahawa orang Melayu dikuasai bangsa lain. Setiap kerajaan yang naik tidak kira berapa komponen parti Melayu, mereka masih tertakluk kepada Perlembagaan," katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata penguasaan atau kuasa orang Melayu di negara ini tidak boleh dipersoalkan kerana majoriti Jemaah Menteri dan Perdana Menteri masih orang Melayu.

-- BERNAMA