KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor pada Rabu mencadangkan agar peruntukan melibatkan soal kebajikan dan tanah adat Orang Asli dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Beliau berkata cadangan itu berikutan wujudnya kelompangan pada punca kuasa di dalam Perlembagaan Persekutuan sedia ada yang hanya boleh diselesaikan melalui pindaan.

"Apa yang dimaksudkan adalah Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kesamarataan, tetapi Orang Asli diberi kelonggaran pada Perkara 8 (5)(C).

"Di situ ada disebut kesejahteraan berkaitan tanah tersekali, itu wujudnya Seksyen 7 dan 6 dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

"Kebajikan Orang Asli ada di bawah kerajaan pusat iaitu Perkara 16, manakala isu tanah diletak di bawah (Senarai) negeri. Kalau lihat Seksyen 6 dan 7 (Akta 134), meskipun kata putus dilakukan kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan negeri, namun ia boleh ditarik pada bila-bila masa oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang selesai menggulung perbahasan usul Laporan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Parlimen.

Ramli yang juga wakil rakyat dari golongan Orang Asli, menjelaskan beliau tidak dapat menyuarakan cadangan itu sebagai Ahli Parlimen kerana kedudukannya kini sebagai pengerusi sidang Dewan Rakyat.

"Saya sebagai wakil rakyat yang duduk sebagai Timbalan Speaker, tidak ada ruang untuk bercakap di sana (sebagai Ahli Parlimen), mohon jasa baik pertimbangkannya," katanya.

Cadangan Ramli juga disokong Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang menyatakan bahawa perkara itu perlu diangkat secara dwipartisan.

Sementara itu, Rubiah berkata cadangan Ramli akan diperhalusi kerana terdapat keperluan untuk undang-undang berkaitan Orang Asli dikemas kini.

-- BERNAMA