Susulan keputusan kerajaan untuk menarik balik pasport antarabangsa penulis blog seks, Alvin Tan dan aktivis bebas, Ali Abd Jalil, lebih banyak suara muncul untuk turut melucutkan taraf kerakyatan mereka.

Suara-suara itu berpendapat bahawa langkah itu akan memberi satu pengajaran kepada Alvin dan Ali.

Walau bagaimanapun, adakah undang-undang kita membenarkan kewarganegaraan dilucutkan?

Peguam Mohd Yusmadi Yusoff berkata Perkara 25 di dalam Perlembagaan Persekutuan membolehkan kelucutan kewarganegaraan kerana kewarganegaraan bukannya satu hak tetapi satu keistimewaan.

Perkara 25 (1) (a) menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan.

"Sebagai contoh, perbuatan Alvin meninggalkan negara ini dan berkata dia tidak mempunyai keyakinan dalam sistem undang-undang negara ini boleh menjamin penggunaan Artikel 25, " katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau berkata frasa 'boleh melalui perintah melucutkan' yang bermaksud kerajaan perlu memberi sebab kukuh mengapa kewarganegaraannya dilucutkan, jika ia dilakukan.

Turut bersetuju dengan pendapat Yusmadi adalah Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang berkata memang terdapat peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi ia adalah ketat.

“Secara peribadi, saya rasa Alvin perlu dilucutkan kewarganegaraannya kerana anda tidak lagi setia kepada negara ini dengan mencemarkan nama baik negara, menyebarkan pembohongan dan menyebabkan ketidakselesaan kaum.

"Tindakannya membentuk asas bagi pelucutan kewarganegaraan," katanya peguam itu.

Ekoran pengumuman Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim bahawa pasport dua orang itu ditarik balik, ada juga orang yang ingin kewarganegaraan mereka turut dilucutkan.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat tindakan melucutkan taraf warganegara mereka berdua dilihat sebagai pengajaran kepada individu atau pihak tertentu supaya tidak menyebarkan fitnah, provokasi dan cercaan menerusi laman-laman sosial.

"Mana-mana individu yang tidak setia kepada negara, bersikap pengkhianat sewajarnya dilucutkan segera taraf kerakyatan," katanya.

Alvin pada masa ini dipercayai berada di Los Angeles, California sementara Ali di Sweden di mana dia mencari suaka politik sejak Oktober.

Ali berdepan tiga tuduhan menghasut kerana didakwa menghina kesultanan Johor dan Sultan Selangor dalam posting di laman Facebooknya.