KANGAR: Perlis membenarkan jemaah solat di masjid di seluruh negeri merapatkan saf berkuat kuasa waktu Subuh, Sabtu ini.

Kebenaran itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan COVID-19 di negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan itu juga dibuat selepas meneliti kadar 100 peratus vaksinasi lengkap, selain peningkatan dos penggalak di negeri ini yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima sehingga 2 Januari lalu.

Titah baginda, ini ditambah penularan wabak COVID-19 di negeri ini adalah terkawal.

“Jemaah yang hadir diwajibkan merapatkan saf ketika menunaikan solat dengan kadar jarak sejadah masing-masing dan sejadah adalah bersaiz standard dan tiada berlaku sentuhan fizikal.

“Walau bagaimanapun, jemaah yang tinggal di rumah yang sama adalah diwajibkan merapatkan saf tanpa mengikut syarat-syarat tersebut.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) hendaklah dikekalkan termasuk memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid, tiada sentuhan fizikal serta lengkap vaksinasi,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah, semua masjid di negeri ini adalah tertakluk kepada SOP ini manakala surau atau tempat solat awam kekal tidak dibuka.

Seterusnya baginda berharap, seluruh rakyat sentiasa mematuhi SOP dan ketetapan yang telah diperkenankan.