MALAYSIA

Perlis catat kadar obesiti tertinggi 32.8 peratus

Bernama 11/12/2025 | 09:35 MYT
Wan Badariah berkata demikian semasa menjawab soalan Megat Hashirat Hassan (PN-Pauh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra hari ini. - Bernama
KANGAR: Perlis mencatatkan kadar obesiti tertinggi iaitu 32.8 peratus manakala kadar prevalens diabetes sebanyak 20.6 peratus, iaitu ketiga tertinggi di Malaysia berdasarkan statistik terkini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar Perlis Wan Badariah Wan Saad berkata tindakan telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan usaha kerajaan negeri termasuk promosi pelancongan dan kesihatan rakyat bergerak seiring tanpa memberikan kesan negatif.

"Jabatan Kesihatan negeri mengambil maklum penganjuran Food Festival yang kini menjadi tarikan masyarakat umum di Perlis dan menjadi tanggungjawab jabatan memastikan pengendali dan makanan dijual mematuhi tahap keselamatan dan berkualiti.

"Pelbagai aktiviti advokasi dilakukan kepada pengendali makanan dan pengunjung Food Festival bagi menyediakan dan pemilihan yang lebih sihat seperti minuman kurang manis atau tanpa gula, porsi makanan lebih kecil, menggalakkan penjualan buah dan sayur serta cakna kandungan kalori," katanya.

Wan Badariah berkata demikian semasa menjawab soalan Megat Hashirat Hassan (PN-Pauh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Megat Hashirat ingin tahu tindakan pihak kerajaan negeri dalam isu penganjuran festival makanan yang hebat dipromosikan di Perlis yang dirasakan berkait rapat dengan kesihatan termasuk obesiti dan diabetes di negeri itu.

Wan Badariah menjawab soalan itu bagi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan Perlis Datin Marzita Mansor.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Perlis melalui kerjasama dan sokongan Jabatan Pendidikan negeri akan melaksanakan kempen "Perang Terhadap Gula" dalam kalangan warga sekolah melibatkan murid, guru dan pengusaha kantin menggunakan model Kementerian Kesihatan (KKM) "Sihat Stail Saya" tahun depan.

"Program advokasi ini berkonsepkan primordial, iaitu aktiviti pencegahan sejak awal dalam kalangan murid bagi mengekang peningkatan prevalens penyakit tidak berjangkit apabila mereka menginjak remaja dan dewasa," katanya.

-- BERNAMA

#Perlis #kadar obesiti #kesihatan #diabetes