KANGAR: Negeri Perlis dan Wilayah Tashkent, Uzbekistan berpotensi memperluas kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan pertanian, menerusi perkongsian kepakaran serta pemanfaatan tarikan dan sumber ekonomi kedua-dua kawasan berkenaan.
Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Gabenor Wilayah Tashkent Zoyir Mirzayev menyifatkan hubungan baik terjalin dengan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sebagai asas penting untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan itu Istana Arau memaklumkan bahawa dalam sektor pertanian, kedua-dua pihak sudah mula meneroka potensi penanaman kenaf termasuk kemungkinan memperluas lagi projek berkenaan di Tashkent.
“Usaha itu mencerminkan perkembangan positif perbincangan terdahulu dalam mengenal pasti bidang pertanian, yang berpotensi dikembangkan melalui kerjasama strategik.
“Selain itu, pertukaran pandangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan dengan memanfaatkan tarikan pelancongan, pengalaman serta kelebihan masing-masing bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama antara Perlis dengan Wilayah Tashkent,” menurut kenyataan Istana Arau.
Perkara itu dikongsikan beliau ketika Majlis Santapan Malam yang dihoskannya untuk meraikan Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, di pusat peranginan pergunungan bertaraf dunia Amirsoy Mountain Resort iaitu terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari pusat bandar Tashkent sebelum baginda berangkat pulang ke tanah air pada Khamis lepas.
Gabenor wilayah itu meraikan baginda berdua di villa yang sama, dengan dikunjungi Presiden Belarus Aleksandr Lukashenko dan Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov, sebelum ini.
Istana Arau berkata pertemuan itu, mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh hubungan sedia ada, di samping meneroka peluang kerjasama baharu yang mampu merancakkan pembangunan pelancongan dan pertanian, serta memperluas hubungan antara Perlis dengan Uzbekistan.
Untuk rekod, Zoyir Mirzayev pernah mengadakan lawatan kerja ke negeri Perlis pada April tahun lepas, bagi mengadap Tuanku Syed Sirajuddin, yang turut disertai sama Raja Muda Perlis di Istana Arau.
Istana Arau berkata beliau turut mengadakan kunjungan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan juga menyertai program Kayuhan Amal MAIPs Peduli, di kawasan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warni Seberang Ramai Kuala Perlis.
“Hasil daripada kunjungan tersebut juga, beliau yang diiringi Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Karomiddin Gadoev, telah memilih Perlis secara rasmi sebagai rakan kolaborasi utama bagi Wilayah Tashkent di Malaysia,” menurut kenyataan Istana Arau.
-- BERNAMA