MALAYSIA

Perlis rancang pembangunan rekreasi berkonsepkan lif di Bukit Chabang

Bernama 22/09/2025 | 21:15 MYT
Sebuah syarikat pelabur optimis projek pembangunan rekreasi di Bukit Chabang berkenaan, dan boleh siap dalam tempoh antara 18 hingga 24 bulan. - Gambar Explore Perlis
KANGAR: Kerajaan Perlis merancang untuk melaksanakan pembangunan rekreasi berkonsepkan lif di Bukit Chabang, kira-kira 20 kilometer (km) dari bandar Kangar sebagai tarikan baharu pelancongan negeri.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, sebuah syarikat pelabur dari Kedah yang berpengalaman melaksanakan projek rekreasi seperti di Bukit Bendera, Pulau Pinang bersedia untuk merealisasikan perancangan itu.

"Kalau di Langkawi (Gunung Mat Chincang) kereta kabel sepenuhnya, di Bukit Chabang ini kami boleh buat lif untuk naik ke atas sebelum disambungkan dengan jambatan. Ketinggian Bukit Chabang lebih rendah berbanding di Langkawi.

"Jadi, kalau buat kereta kabel sepenuhnya kos terlalu tinggi, boleh mencecah sehingga RM40 juta. Sebab itu kami pilih konsep lif yang lebih praktikal dengan kos belasan juta ringgit sahaja dan syarikat itu mampu melaksanakannya... saya suruh dia (syarikat pelabur) masuk cepat (siapkan projek pembangunan rekreasi itu)," katanya selepas merasmikan Skim Kafalah Perlis di Dewan Residensi, Kediaman Menteri Besar, di sini, pada Isnin.

Mohd Shukri berkata, syarikat pelabur itu optimis projek pembangunan rekreasi di Bukit Chabang berkenaan boleh siap dalam tempoh antara 18 hingga 24 bulan.

Beliau berkata, Bukit Chabang mempunyai keunikan tersendiri kerana tiupan angin yang konsisten sepanjang masa dan sesuai dijadikan kawasan rekreasi baharu.

"Keistimewaan Bukit Chabang ini ialah pengunjung boleh turun dua belah bukit, tidak seperti Gunung Jerai yang hanya satu arah. Jadi, dari segi rekreasi dan tarikan pelancongan, memang sesuai untuk dibangunkan," katanya.

-- BERNAMA



#bukit chabang #rekreasi #lif #pelancongan #Perlis #Mohd Shukri Ramli