KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan tambahan 4,000 perjawatan bagi membolehkan beroperasi di tahap maksimum berdasarkan Perancangan Pelan Strategik Maritim Malaysia 2040.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata selain faktor keluasan perairan dan pencerobohan nelayan asing, penambahan perjawatan diperlukan supaya seiring dengan pertambahan aset agensi.

"Kita menerima aset tetapi tanpa penambahan perjawatan menyebabkan sumber manusia kurang berbanding pegangan aset sedia ada. Sebagai contoh, kapal KM Arau... jawatan hakiki sepatutnya ialah 56 orang tetapi diisi antara 40 ke 45 orang kerana sebahagian perlu dipinjamkan ke kapal atau bot yang diterima APMM tanpa perjawatan.

"Kita perlu mengoperasikan kapal atau bot yang baru diterima menyebabkan kita mengambil sedikit daripada jawatan sedia ada. Bagaimanapun, pengambilan ini tidak menjejaskan operasi kapal sedia ada yang masih berjalan secara optimum," katanya.

Saiful Lizan berkata demikian kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh dan Pengarah AMSAS Kepten Maritim R. Vincent.

Menurut Saiful Lizan, penambahan perjawatan juga sudah dalam perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau memaklumkan setakat ini, APMM juga giat memperkukuh aspek keupayaan sumber manusia yang sudah mencapai 90.76 peratus daripada 5,303 jumlah perjawatan telah diluluskan dengan 490 lagi perjawatan akan diisi menjelang 2026.

Mengulas majlis hari ini, Saiful Lizan berkata seramai 179 pelatih termasuk 20 wanita berjaya menamatkan latihan selama sembilan bulan bermula 7 Dis lepas, yang merupakan pengambilan pertama semasa negara masih dalam fasa pandemik COVID-19.

Mereka seterusnya akan menjalani latihan sambil bekerja selama empat bulan di kapal sebelum disahkan dalam perkhidmatan, yang antara lain meliputi pendedahan dalam aspek praktikal pengoperasian kapal.

-- BERNAMA